02 September 2014

Siapakah Yang Membentuk Imej Diri Kita?



Waktu yang paling penting pembentukan imej diri seseorang bermula ketika sejak lahir hingga enam tahun. Pada peringkat usia ini, minda kanak-kanak analoginya umpama span, sama ada cecair yang jernih dan keladak yang berada di sekitarnya, semuanya diserap masuk ke dalam span.

Begitulah yang berlaku kepada kanak-kanak berusia sejak lahir hingga enam tahun ini, apa-apa yang mereka lihat dan dengar semuanya dirakamkan dalam minda bawah sedar/minda segar mereka.

Oleh sebab itu ada tiga perkara yang ibu bapa tidak boleh lakukan dalam mendidik anak-anak, terutama pada peringkat awal pembesarannya.


Pertama, melabelkan anak-anak.

Contohnya apabila anak-anak kita tidak mahu berkawan dengan anak-anak tetamu yang datang ke rumah kita, di hadapan tetamu ibu bapa mengatakan anak mereka ini pemalu sangat dan tidak reti bercampur.

Maka anak-anak yang mendengar penyataan ibu bapa yang memberi label negatif kepada diri mereka, akan tertanam mesej negatif itu dalam minda bawah sedar atau minda segar mereka. Akhirnya terbentuklah imej diri seorang individu yang tidak pandai bersosial dan tidak memiliki keyakinan diri apabila mereka dewasa.

Keadaan yang sama juga akan berlaku kalau ibu bapa suka mengatakan anak mereka nakal, jahat, degil, tidak dengar kata dan seumpamanya (perkataan negatif). Berikanlah label yang positif kepada anak, seperti ‘anak yang baik’, ‘anak yang bertanggungjawab’, ‘anak yang rajin’ dan seumpamanya. Oleh sebab itu ibu bapa, kawal emosi dan berkatalah dengan akal bukan dengan emosi apabila berhadapan dengan ragam anak-anak.

Kedua, menghukum anak-anak dengan cara kekerasan.

Kanak-kanak sejak lahir hingga enam tahun, pada waktu ini perlukan sepenuhnya kasih sayang. Rahsia atau tenaga yang paling besar menjadikan dunia ini nikmat ialah kasih sayang. Kanak-kanak yang dididik dengan kasih sayang akan membentuk imej dirinya menjadi seorang yang penyayang.

Kalau mereka dibesarkan dengan kebencian dan kritikan, mereka akan belajar membenci orang dan suka mengkritik serta mencari kesalahan orang. Puji dan berilah penghargaan kepada anak-anak.Mereka yang sering dipuji dan diberikan penghargaan akan tinggi semangatnya, ceria dan bertenaga.

Ketiga, membanding-bandingkan anak-anak.

Iaitu membandingkan anak-anak dengan sesama adik-beradik mereka, atau mewujudkan persaingan antara anak kita dengan anak orang lain. Anak-anak yang dididik berlumba untuk mengejar pencapaian keduniaan (menjadi kuda pacuan) untuk ayah dan ibu bermegah-megah dengan pencapaian akademik anaknya, walaupun tidak dinafikan banyak kesan positif, tetapi tanpa disedari telah membina imej diri negatif kepada anak-anak. Kerana anak-anak ini ibarat setandan kelapa, dalam setandan kelapa tidak semuanya elok buahnya.

Maka bagi anak yang mendapat penghargaan daripada ibu bapa kerana pencapaian cemerlang dalam pelajarannya, mereka akan turut bermegah sama seperti ibu bapanya, sedangkan anak yang tidak berjaya mencapai hasrat ibu bapanya akan berasa rendah diri, tidak disayangi, dan berasa ibu bapanya pilih kasih. Imej diri negatif kepada anak-anak yang lemah sedang dibina oleh ibu bapa yang membanding-bandingkan kemampuan anak-anaknya.

Apabila anak-anak berumur 14 hingga 21 tahun, mereka dipengaruhi oleh alam sekeliling/persekitaran dan kawan-kawan mereka. Sebab itulah daripada usia 14 tahun ke bawah, adalah waktu yang sangat penting dalam pendidikan anak-anak, kerana ibu bapa boleh membentuk imej diri anak-anak, sebelum mereka berdikari dan terdedah dengan dunia persekitaran yang lebih terbuka dan mencabar.

Bersahabat

Pada usia begini ibu bapa perlu menggunakan kaedah bersahabat dengan anak-anak. Kenal kawan-kawan anak-anak kita dan lebih baik lagi jika kita mengenali keluarga kawan-kawan mereka. Kebersamaan ibu bapa dalam aktiviti yang disukai oleh anak-anak, sebagai ‘sahabat’ adalah sangat baik, berbanding jika ibu bapa melepaskan anak-anak bersama-sama rakan sebaya mereka. Perlu diingat pada usia begini anak-anak adalah remaja yang sedang menghadapi krisis identiti, dan mereka sedang tercari-cari identiti atau imej dirinya.

Remaja yang mempunyai ibu bapa yang garang; suka memukul, mengherdik, memaki-hamun dan cuba mendidik anak dengan disiplin dan kekerasan, akan menjadikan anak remaja ini, seorang yang suka bermuka-muka. Di hadapan ibu bapa atau guru kerana takut dan terikat dengan disiplin, mereka akan menjadi seorang yang pendiam, baik dan patuh kepada disiplin yang ditetapkan.

Tetapi, di belakang ibu bapa atau guru nanti, mereka akan tunjuk sikap ‘singa’ mereka. Mereka menunjukkan jiwa memberontak mereka terhadap apa-apa yang mereka alami sama ada di rumah atau di sekolah, dan membalasnya dengan membuli orang bagi melepaskan geram yang terpendam di hati.

Oleh sebab itu, kalau hendak marah anak atau pelajar, kawal dan tingkatkan akaun emosi mereka sebelum dihukum atau sesudah dihukum. Sebelum kita memarahi anak atau pelajar, puji kebaikan mereka dahulu dengan menyebut kebaikan-kebaikan yang telah mereka miliki. Kemudian itu barulah disebut kesilapan atau kesalahan mereka yang menjadi kekurangan bagi melengkapkan diri mereka menjadi seorang individu yang hebat dan berimej positif.

Selepas memberikan hukuman kepada anak atau pelajar, nyatakan kepada mereka mengapa kita memarahinya dan mengambil tindakan terhadapnya. Dan katakan kepada mereka, kita bukan memarahi kerana benci kepada dirinya, tetapi kita marah kepada kesalahannya dan tidak suka kepada perangai mereka, bukan tidak suka orangnya. Kalau memukul anak, pukullah dengan tujuan mengajar bukan mendera atau melepaskan emosi marah. Kalau boleh didiklah anak dengan kelembutan bukan kekerasan.

Setiap kali kita marah kita merosakkan imej diri anak atau pelajar, dan akaun emosi mereka tercalar. Sebab ‘fikiran’ menghasilkan ‘emosi’, ‘emosi’ menghasilkan ‘tindakan’, dan ‘tindakan’ itulah menghasilkan tabiat, perwatakan, personaliti, akhlak dan imej diri.

Jom audit diri adakah kita seorang yang menyumbang kepada pembentukan imej positif atau imej negatif? Jangan cari keburukan dan kutuk mengutuk tetapi carilah kebaikan. Kita menjadi orang yang susah memuji orang sebab hati kita tidak bersih. Kita menjadi orang yang kurang harga diri sebab kita tidak suka menghargai orang. Orang yang pemikirannya kecil suka memperkecilkan orang. Orang yang berminda besar suka membuat orang menjadi besar dan hebat. Orang yang berminda kecil - masalah jadi besar, dan orang yang berminda besar -masalah menjadi kecil. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

Oleh PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD
Sumber: Utusan

Catatan:
PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD merupakan ...
* Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS)
* Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo Dakwah Yadim
* Fanpage: www.facebook.com/profdrmuhaya.

0 comments: