04 September 2014

Meniti Usia Tua Dengan Bermaruah


PENJAGAAN warga tua di rumah kebajikan memerlukan pemantauan yang rapi.. - Gambar Hiasan

Melewati usia tua, menanggung sakit dan mengharapkan belas ihsan, semua ini seperti juga kematian, adalah hakikat yang harus terima. Ini semua tidak penting ketika kita masih muda dan lincah, namun tatkala usia mula meningkat, realiti yang menanti akan mencengkam mereka yang tidak bersedia.

Jika mahu memastikan keberkesanan pengurusan penjagaan warga emas di negara ini, kita harus berusaha memahami kaedah yang diamalkan di negara maju dalam mengendalikan isu ini.


Jangka hayat penduduk meningkat setiap tahun. 

Menjelang 2060, jumlah penduduk Jepun dijangka berkurangan kepada sepertiga daripada jumlah sekarang apabila hampir 40 peratus daripada rakyatnya mencecah usia 65 tahun ke atas.

Tempoh hayat bagi masyarakat di negara maju lebih panjang disebabkan akses kepada teknologi perubatan dan standard penjagaan kesihatan yang tinggi. Di Jepun, jangka hayat penduduknya kira-kira 83 tahun.

Memandangkan matlamat untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi kian hampir, kita turut mendepani isu yang sama. Pada tahun 1957, jangka hayat rakyat Malaysia secara purata hanya 56 tahun. Kini, ia sudah mencecah 75 tahun. Menjelang tahun 2020, bilangan rakyat Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas dijangka mencecah 4.46 juta orang berbanding 2.32 juta sekarang.

Dalam artikel ini, saya ingin menjemput pembaca melihat tiga fasa kehidupan yang kita semua akan tempuhi, tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Zaman muda dan cergas ialah fasa giat berdaya. Bagaimanapun, kecergasan ini lama-kelamaan akan susut juga mungkin ketika meniti usia lewat 50-an ( saya mengistilahkannya sebagai fasa kurang berdaya ).

Sesudah itu, ada pula antara kita yang terpaksa bergantung sepenuhnya pada insan lain ( fasa tidak berdaya). Mereka yang sakit melarat termasuk pihak yang menjaga mereka ini ialah golongan yang paling banyak mengharungi kesukaran.

Ayah saya dikesan menghidap alzheimer beberapa tahun lalu. Saya dan adik-beradik menanggung pedih yang teramat ketika itu kerana terpaksa menelan hakikat bahawa ayah seorang pemimpin yang begitu kental dan berwibawa pada mata kami akan berdepan dengan saat beliau menjadi lemah tidak berdaya.

Kami turut mempertimbangkan cara memberikan penjagaan terbaik untuk ayah. Berdasarkan pengamatan saya, penjagaan dan sokongan disediakan untuk golongan kurang berdaya di negara kita masih pada tahap yang boleh diterima.

Hospital awam dan swasta menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan, namun penyediaan khidmat perubatan ini mengandaikan orang ramai masih terdaya untuk menjaga diri mereka. Golongan yang sakit terlantar atau bergantung sepenuhnya pada pertolongan orang lain pasti menanggung derita.

Mengenang kembali pengalaman ketika menjaga ayah, terdapat tiga aspek yang saya kenal pasti dapat meletakkan sektor jagaan warga tua di negara kita pada landasan betul:

Memastikan standard penjagaan bersesuaian

Warga tua berkehendakkan tahap penjagaan berbeza, justeru khidmat diberikan harus bersesuaian dengan penjagaan diperlukan. Bagi mereka yang memerlukan sokongan minimum, sedikit penjagaan sahaja sudah memadai dan kos penjagaan dikekalkan pada kadar minimum.

Bagaimanapun, warga tua yang bergantung pada bantuan insan lain memerlukan penjagaan intensif dan berkeperluan tinggi, maka kos penjagaan turut melonjak.

Transformasi perkhidmatan, penjagaan warga tua

Akta Penjagaan Kesihatan Warga Emas yang baharu dan dijangka siap hujung tahun 2014 ini mengambil kira perkara ini. Akta ini mengawal selia perkhidmatan dan kemudahan bagi penjagaan warga emas yang bertujuan mentransformasikan perkhidmatan bagi penjagaan warga tua serta mempertingkatkan tahap kemahiran dalam kalangan penyedia perkhidmatan jagaan.

Kerajaan menganjurkan pembentukan komuniti warga tua seperti perkampungan persaraan. Selain itu, pembangunan sebuah industri kesihatan bergerak yang mantap terus diberi penekanan oleh kerajaan kerana ia bukan sahaja menyediakan penjagaan bagi warga tua yang lebih selesa tinggal di rumah, malah turut memberikan perlindungan insurans.

Persiapan untuk masa depan

Saya tidak akan jemu mengingatkan betapa pentingnya mempunyai wang simpanan dan perlindungan insurans. Sementara masih bekerja, orang ramai sewajarnya menyimpan wang dan mendapatkan perlindungan insurans untuk usia tua. Premium insurans lebih rendah bagi orang muda, maka jika kadar yang rendah itu ditetapkan lebih awal, tentu penjagaan kesihatan diperoleh pada kos jauh lebih rendah.

Persediaan hari tua

Satu musibah yang menimpa sudah cukup menyeksakan jika tiada bekalan selain caruman KWSP atau PERKESO. Persediaan hari tua amat penting. Pada masa ini, pemberian subsidi untuk sektor kesihatan awam di Malaysia adalah tinggi, justeru menjadikannya antara paling murah di dunia.

Sebagai contoh, rawatan daripada pengamal perubatan umum di hospital kerajaan hanya dikenakan RM1. Kadar itu tidak berubah sejak diperkenalkan pada tahun 1982! Kadar subsidi sebegini rendah dalam sistem kesihatan awam bagaimanapun jelas tidak boleh diteruskan.

Kerjasama padu daripada semua pihak

Sokongan padu diperlukan daripada semua pihak agar dapat menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan yang dinamik untuk manfaat warga tua. Agensi kebajikan sosial, penyedia penjagaan kesihatan dan pengamal perubatan perlu mencari jalan untuk membina jalinan kerjasama antara mereka.

Pada masa ini, setiap pihak bertugas dalam ruang lingkup berbeza, namun jika industri berupaya menyediakan pusat sehenti bagi jagaan warga tua, sudah tentu ini kerjasama yang praktikal.

Langkah seterusnya ialah penempatan mesra geriatrik. Di Singapura, bangunan yang menempatkan warga tua mempunyai bilik air dilengkapi besi bertingkat dan butang kecemasan di setiap bilik, malah seorang doktor ditugaskan agar sedia menunggu di setiap bangunan.

Ayah saya orangnya bersemangat waja. Sejurus disahkan penyakitnya, beliau mengadakan majlis dan menjemput semua sahabat handai dan kaum keluarga.

Sedang majlis itu berlangsung, beliau berdiri dan mula berucap. "Penyakit ini akan menyebabkan saya menemui kematian dua kali iaitu kematian akal pada mulanya, diikuti kematian jasad. Katakanlah kepada saya apa sahaja yang ingin kamu semua katakan kerana ketika kita bertemu kembali, mungkin saya tidak berupaya lagi untuk mengenali kamu," ujarnya.

Meraikan ayah

Kami semua meraikan ayah dengan lagu Amazing Grace pada malam itu dengan dada yang penuh sebak. Deraian air mata membasahi wajah jemputan. Apatah lagi sebagai anaknya, kami sedar perit pedih yang menanti pada masa depan.

Ayah dan ibu akhirnya memutuskan untuk berpindah ke Kuching dan tinggal bersama kakak saya. Di Kuching, akses kepada kemudahan perubatan lebih mudah. Ayah dan ibu terpaksa meninggalkan pekan Bario yang amat mereka kasihi.

Asal ada sahaja peluang, saya pulang ke Kuching.

Peranan hidup kami sudah bertukar. Ada kalanya, saya baring di katil ayah dan merangkulnya seperti ayah lakukan kepada saya ketika kecil. Saya bercerita kepada ayah kisah dan kenangan lama untuk mencetuskan ingatan beliau.

Banyak waktu petang yang kami luangkan sambil bergelak ketawa dan berdoa bersama. Meskipun banyak yang saya kongsi di sini berkenaan kaedah pengurusan warga tua secara praktikalnya, jagaan sebenarnya bukan isu membabitkan wang semata- mata. Warga tua dan mereka yang sakit melarat ialah golongan paling lemah. Mereka mendambakan masa, keprihatinan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Abang saya yang menetap di Australia sanggup meluangkan masa setahun hanya untuk bersama ayah di Kuching. Jangan tidak, kita harus mencurahkan kasih sayang kepada insan yang kita kasihi agar mereka dapat meniti usia tua dan menghembuskan nafas terakhir tanpa tergadai maruah mereka.

Pendapat dan pengalaman ini dicatatkan oleh Datuk Idris Jala
Sumber: BHarian

0 comments: