30 April 2015

Isyarat Tsunami Dolfin


KELIHATAN sekumpulan ikan lumba-lumba terdampar di perairan Hokota, Jepun pada 9 April 2015.

KEMUNCULAN berpuluh-puluh ikan lumba-lumba di perairan Kuala Muda dekat Kepala Batas, Pulau Pinang pada 24 Disember 2004 seolah-olah menjadi isyarat kepada kejadian tsunami yang berlaku dua hari berikutnya.

Berdasarkan laporan akhbar, beberapa nelayan di kawasan perairan itu mendakwa ternampak berpuluh-puluh ekor ikan lumba-lumba berlegar-legar kira-kira 200 meter dari kawasan pantai.

Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Saleh memberitahu, ikan lumba-lumba yang muncul di perairan itu melompat-lompat ke udara sambil melibas ekornya seolah-olah cuba menarik perhatian nelayan-nelayan yang sedang menurunkan ikan di kuala tersebut.


“Memang terdapat ikan lumba-lumba di perairan ini, namun jumlahnya hanya seekor dua sahaja. Kehadiran ikan ini dalam jumlah yang banyak adalah sesuatu yang aneh,” katanya.

Dolfin Elektra

Sebagai rekod, kejadian gempa bumi yang mencetuskan tsunami di Lautan Hindi melibatkan negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, Maldives, Somalia, India dan Sri Lanka itu disenaraikan sebagai gempa bumi ketiga terbesar pernah berlaku di dunia sejak tahun 1900 dengan ukuran 9.2 pada skala Richter.

Sementara itu, situasi sama dilaporkan turut berlaku di New Zealand selepas kira-kira 100 ekor ikan lumba-lumba ditemui terdampar di perairan negara itu.

Dua hari kemudian atau lebih tepat pada 22 Februari 2011, Christchurch dilanda gempa bumi berskala 6.3 magnitud sehingga mengorbankan 162 orang selain mengakibatkan kerugian bernilai NZ$20 bilion (RM4.65 bilion).

Di Jepun, kira-kira 50 ekor ikan lumba-lumba melon-head didapati terdampar di perairan Hokota, enam hari sebelum tragedi gempa bumi Tohoku yang melanda pada 11 Mac 2011.

Gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter yang mencetuskan ombak tsunami setinggi 40.5 meter itu mengorbankan hampir 19,000 nyawa. Tragedi alam itu direkodkan sebagai gempa bumi paling kuat pernah melanda Jepun sejak tahun 1900.


TRAGEDI gempa bumi yang berlaku di Christchurch, New Zealand pada 22 Februari 2011.

Takut gangguan

Kejadian aneh itu sekali lagi berlaku pada 9 April 2015 selepas lebih 150 ekor ikan lumba-lumba yang juga dikenali sebagai dolfin elektra itu muncul di perairan Hokota yang terletak kira-kira 100 kilometer di timur laut Tokyo.

Selain mengundang pelbagai persoalan, ia juga mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk setempat yang mendakwa bencana tsunami mungkin berlaku.

Keresahan mereka seakan-akan menjadi kenyataan apabila tidak sampai dua minggu selepas kejadian itu, wilayah Taiwan digegarkan dengan kejadian gempa bumi berukuran 6.6 skala Richter pada 20 April 2015.

Jabatan Kaji Cuaca Jepun lantas mengeluarkan amaran berjaga-jaga berikutan ramalan tsunami setinggi satu meter yang dijangka melanda kepulauan selatan negara Matahari Terbit itu.

Badan penyiaran nasional NHK berkata, ombak membadai beberapa pulau di selatan Okinawa selepas gempa bumi sederhana melanda tengah Yonaguna di barat daya berdekatan Taiwan.

“Kami mengeluarkan amaran menerusi radio. Semua penduduk diarahkan bergerak ke kawasan yang jauh dari laut,” kata Satoshi Shimoji mewakili pentadbir bandar Miyako menerusi NHK.

Pun begitu, amaran tersebut ditarik balik berikutan tiada sebarang tanda tsunami bakal berlaku.

Dalam pada itu, menurut Ketua Sumber Perikanan di Institut Penyelidikan Kebangsaan Jepun, Toshiaki Kishiro, tidak mustahil bagi hidupan marin untuk berasa ‘takut’ dengan gangguan yang berlaku di medan elektromagnet Bumi seperti gempa bumi dan kejadian alam lain.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak semestinya tepat.

“Beberapa kawasan perairan di Jepun pernah mengalami beberapa kejadian seumpama ini (haiwan terdampar) lebih-lebih lagi membabitkan hidupan marin seperti ikan paus dan dolfin. Jadi, kami masih berusaha untuk mencari jawapan dan mengenal pasti punca sebenar di sebalik kejadian ini,” katanya.

Sumber: Kosmo

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

Haiwan2 dpt rasa dulu sblum kita kan.. tu la kelebihan mereka...