19 Mac 2011
Bank Negara Catu Kad Kredit
Bank Negara Malaysia (BNM) menguatkuasakan beberapa peraturan drastik bagi pemilikan kad kredit khususnya untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM36,000 setahun. Tujuan peraturan baru ini adalah untuk mengawal perbelanjaan boros selain membendung risiko generasi muda diisytiharkan muflis.
Pada masa ini, pemegang kad kredit di Malaysia adalah seramai 3.2 juta orang dengan 50 peratus adalah mereka yang berpendapatan kurang dari RM36,000 setahun.
Antara syarat yang dikuatkuasakan serta-merta itu ialah:
1. Kadar kelayakan gaji minimum bagi setiap permohonan baru kad kredit dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 sebulan. (daripada RM18,000 kepada RM24,000 setahun).
2. Mereka yang mempunyai gaji RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun hanya dibenarkan memiliki kad kredit daripada dua buah bank sahaja.
3. Syarat umur untuk memohon kad kredit adalah sekurang-kurangnya berumur 21 tahun.
4. Had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad berpendapatan RM36,000 atau kurang tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan masing-masing
5. Tempoh masa sekurang-kurangnya dua tahun diberikan kepada pemegang kad untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang dibatalkan.
6. Bagi mereka yang mempunyai baki hutang kad kredit melebihi had maksimum kredit yang ditetapkan, diberikan tempoh penangguhan selama dua tahun untuk memenuhi keperluan baharu itu
Timbalan Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, jika seseorang itu mempunyai kad kredit daripada banyak bank, individu itu perlu memilih dua bank sahaja dan membatalkan kad kredit yang lain menjelang akhir tahun ini. Mereka yang terpaksa membatalkan kad masing-masing di bawah syarat ini, diberi masa dua tahun untuk melangsaikan baki kredit tanpa sebarang syarat daripada bank.
Firma penyelidikan melihat garis panduan baru yang lebih ketat itu akan membolehkan bank meraih pulangan maksimum daripada perniagaan kad kredit masing-masing kerana ia akan menyediakan mereka asas pelanggan berkualiti yang mempunyai kemampuan sebenar menyelesaikan baki pinjaman dalam tempoh ditetapkan.
Akhbar Berita Harian bertarikh 24 Julai 2010 menyiarkan artikel bertajuk “Muflis Muda” yang memberikan satu gambaran yang cukup menakutkan. Dalam tempoh antara tahun 2005 sehingga Mei 2010, sebanyak 80,000 kes muflis direkodkan. Ini bermakna 41 orang bankrap setiap hari, yang antara sebabnya berpunca daripada kegagalan menyelesaikan pinjaman sewa beli kenderaan, tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit hingga banyak hutang tertunggak, selain pinjaman peribadi.
Apa yang lebih membimbangkan ialah daripada jumlah keseluruhan yang diisytiharkan muflis, lebih 16 peratus atau 13,128 individu berusia antara 25 hingga 34 tahun. Mengikut laporan itu lagi, kebanyakan pemegang kad kredit adalah kalangan golongan muda yang menggunakan kemudahan itu untuk berbelanja barangan tidak perlu dan mewah.(Rujuk: www.bnm.gov.my)
Bajet Malaysia 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia ,Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada hari Jumaat, 23 Oktober 2009 antara lain memutuskan Cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma dan cukai pendapatan RM25 setahun ke atas setiap kad kredit tambahan mulai 1 Januari 2010.(Rujuk: Wikipedia).
p/s: Peraturan baru ini pasti juga melegakan kebanyakan pengguna kad kredit. Saya percaya pemilikan kad kredit bagi sebahagian pengguna adalah disebabkan pengaruh dan pujukan agen syarikat kad kredit.
Dengan tawaran pelbagai jenis hadiah mereka sedaya upaya mempengaruhi pengguna untuk menggunakan kad kredit syarikat mereka. Ini adalah punca kepada mengapa ramai pengguna memiliki kad kredit lebih daripada 2 bank.
Penggunaan kad kredit adalah satu kaedah berbelanja untuk golongan mewah. Caj RM50 setahun sudah menggambarkan hakikat ini.
Sumber:
http://www.kosmo.com.my
http://www.bharian.com.my
http://www.utusan.com.my
http://bernama.com
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan