Nuff Atas

23 Mac 2011

Penjawat Awam Pilih Bersara Awal Diberi Ganjaran Penuh

~ Gambar Hiasan ~

PUTRAJAYA, 22 Mac, 2011: Kerajaan menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari 2010.

Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma.

Keistimewaan ini juga boleh dinikmati mereka yang bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau pihak berkuasa berkanun dan tempatan.

Bagaimanapun keistimewaan ini tidak akan membabitkan mereka yang meletakkan jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.


"Keputusan itu dibuat berkat usaha kakitangan kerajaan membantu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan bijak, sehingga mampu memulihkan negara daripada masalah ekonomi," katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Pada 1 Februari 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan keputusan kerajaan menangguh bayaran sebahagian ganjaran membabitkan permohonan bersara pilihan bagi kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan.

Ia berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Antara syarat itu, kakitangan yang ingin bersara pilihan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi berbanding bayaran sekali gus seperti sebelumnya.

Mengenai Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia, Najib berkata, satu kaedah `exit policy' akan diwujudkan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

"Kaedah baru ini bakal diperkenalkan berikutan masalah sistem pool yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan pegawai yang terbabit tidak teraniaya dengan mengamalkan sistem penilaian yang bebas dan berkecuali.

"Mengikut kaedah baru ini, pegawai berkenaan akan diberikan tugasan khusus bagi memanfaatkan pengalaman mereka," katanya.

Mengikut sistem penilaian baru yang bakal dilaksanakan mulai Jun 2011, Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan diberikan fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh JPA.

Najib turut mengumumkan cadangan kerajaan memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam yang menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat dan pada masa sama bergiat aktif dalam kegiatan sukarelawan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, tahap prestasi kerja dan pembabitan aktif penjawat awam dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan berkenaan

Sumber: BHarian.

1 comments:

ewanrani berkata...

wah menarik jugak eh jadi pekerja kerajaan...ewanrani tengah cari kerja nie..nak try mintak kerajaan jugakla...mase depan terjamin...