25 Disember 2011
'Raja Pop' Kawal Trafik Manila
HINOJAS hanya dibayar RM9 sehari untuk tugas yang meletihkan ini.
SETIAP hari, ribuan anggota polis trafik di Manila, Filipina berusaha keras bagi memastikan jalan raya yang selalu sesak dengan kenderaan, berjalan lancar. Namun bagi seorang pegawai trafik, Ramiro Hinojas, 55, dia mempunyai cara tersendiri untuk mengawal lalu lintas iaitu dengan melemparkan senyuman dan mendapat 'bantuan' daripada Michael Jackson.
Menariknya tentang pegawai trafik warga Filipina tersebut, dia sanggup tampil dalam persalinan kostum Santa Claus ketika mengawal lalu lintas di sepanjang jalan utama di Manila. Lelaki yang popular dengan gelaran 'polis trafik menari' itu tegar mengawal trafik sambil berdansa meskipun menerima cercaan segelintir pemandu dan terdedah pada pencemaran udara.
Selama tujuh hari seminggu, hujan atau panas, Hinojas tetap teguh berdiri di tengah-tengah persimpangan utama di Manila. Enggan membiarkan kesesakan jalan raya berterusan, Hinojas segera menjalankan tugas mengawal aliran trafik dengan baik sambil menari.
Gerakan kaki yang dipraktikkannya dicedok daripada gaya tarian Raja Pop, mendiang Michael Jackson. Lebih daripada itu, keletah tariannya yang bersahaja tersiar pula dalam laman sosial Youtube lalu menjadikannya selebriti kecil biarpun memperoleh gaji bulanan rendah di negara berkenaan.
Keseronokan
"Saya seronok apabila melihat orang lain gembira semasa terperangkap dalam lalu lintas. Saya benar-benar memahami waktu puncak boleh menyebabkan pemandu menjadi gila dan tertekan," jelas Hinojas sewaktu berehat seketika di persimpangan utama, Macapagal Boulevard.
Tambah bapa kepada tiga cahaya mata itu, lazimnya semasa bertugas, dia menyarungkan uniform tetapi pada bulan ini, dia sengaja memilih untuk berpakaian seperti Santa Claus kerana ingin menyuntik mood musim perayaan Krismas.
Hinojas yang mempunyai 16 orang adik-beradik dan dilahirkan dalam keluarga miskin pernah membesar di kawasan setinggan di bandar raya itu.
Jelas Hinojas, dia menerima tawaran sebagai pegawai trafik pada sedekad yang lalu selepas diberhentikan perkhidmatan sebagai pengawal keselamatan.
Tambah Hinojas, rutin tarian ketika menjalankan tugas itu adalah untuk menarik perhatian pemandu supaya mengikut arahan trafik seperti yang diarahkan.
"Lantas, saya memilih tarian Michael Jackson dan cuba menyesuaikan gerak tari dalam sistem kawalan trafik saya," ujarnya.
Lembaga Kemajuan Metropolitan Manila (MMDA), agensi yang menyelia pengurusan lalu lintas di bandar mega yang memiliki 12 juta populasi itu setakat ini mengupah kira-kira 2,000 penguat kuasa sepenuh masa.
Walau bagaimanapun, jumlah berkenaan belum mampu mengawal kesesakan lalu lintas di Manila berikutan MMDA tidak menempatkan pegawai trafik, di banyak bahagian lain.
Sebaliknya, sistem trafik bandar raya itu dikawal oleh kumpulan sukarelawan. Hinojas sendiri merupakan salah seorang pegawai trafik yang datang daripada kumpulan sukarelawan dan dia yang paling menonjol.
Kadangkala, biarpun pegawai trafik lengkap berpakaian uniform berwarna biru atau hijau, namun segelintir pemandu di simpang kecil atau besar langsung tidak menghiraukan arahan yang diberikan. Ini termasuklah melanggar lampu isyarat tanpa rasa bersalah.
Menurut jurucakap, MMDA Alu Dorotan, selain terdedah pada pencemaran teruk, pegawai trafik turut berhadapan dengan risiko kemarahan pengguna jalan raya yang tidak berpuas hati apabila menerima saman kesalahan trafik gara-gara melanggar undang-undang jalan raya.
Pegawai ditembak
POPULASI yang padat membuatkan situasi trafik di Manila sangat sibuk dan sesak setiap hari manakala bilangan pegawai trafik tidak mencukupi.
Berdasarkan laporan MMDA, setakat ini saja sekurang-kurangnya dua orang pegawai trafik mengalami kecederaan kerana ditembak oleh pesalah trafik sejak bulan September 2011 lalu.
Walau apapun penerimaannya, inisiatif Hinojas sememangnya amat dihargai para pemandu apabila ramai membunyikan hon sebagai tanda terima kasih. Selain itu, ada juga pemandu yang sanggup singgah ke pusat beli-belah berhampiran untuk membeli makanan buat Hinojas. Ada juga yang bermurah hati menyumbangkan wang tunai.
Sedikit sebanyak ia membantu meringankan beban belanja Hinojas yang cuma dibayar AS$3 (RM9) sehari.
"Dia sangat bagus ketika menjalankan tugas dan sanggup menari buat kami yang terperangkap dalam lalu lintas. Kami sentiasa mematuhi arahan lalu lintasnya," kata Reynaldo Nieto, pemandu bas yang sentiasa melintasi persimpangan yang sibuk beberapa kali sehari dan turut mengakui bahawa dia merupakan peminat Hinojas.
Walau bagaimanapun, Hinojas juga tidak terkecuali berhadapan dengan pemandu yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dan mencabar tugas serta kuasa polis trafik.
Tutur Hinojas, salah satu peristiwa yang masih segar dalam ingatannya adalah apabila seorang remaja memberinya satu pek makan tengah hari tetapi di dalamnya hanya terdapat tulang ayam.
"Kadang-kadang saya jatuh sakit akibat terlalu lama berdiri di bawah cahaya matahari dan basah kerana hujan. Namun, saya selalu memberitahu keluarga saya bahawa dengan inisiatif kecil ini saya dapat meningkat kesedaran kepada warga tempatan supaya mematuhi undang-undang negara," jelas Hinojas. - AFP
Sumber: Kosmo
Labels:
Luar Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
perghh, terbaik lah pakcik. kuat lagi otot sendi, makan ape ea?
mesti x tension klu kita terperangkap dlm jem
Catat Ulasan