27 Februari 2012
Malaria: Guna Nyamuk Lawan Nyamuk
Nyamuk Tiruk (Anopheles) yang menyebarkan protozoa plasmodium.
MALARIA merupakan penyakit zaman kuno yang masih bersisa hingga sekarang. Penyakit bawaan nyamuk yang digeruni itu pernah membunuh manusia yang berlagak seperti Tuhan iaitu Firaun Tutankhamun.
Jurnal Persatuan Perubatan Amerika dua tahun lalu mendedahkan punca kematian Tutankhamun atau Raja Tut adalah disebabkan oleh malaria berikutan penemuan parasit Plasmodium di dalam darahnya. Tutankhamun meninggal dunia ketika berusia 19 tahun pada tahun 1323 Sebelum Masihi.
Pada zaman moden ini, kemuncak kematian akibat malaria adalah pada tahun 2004 apabila ia meragut 1.8 juta nyawa berbanding sejuta mangsa pada tahun 1980. Bagaimanapun, perang manusia menentang malaria menunjukkan kejayaan berikutan penurunan angka kematian tahun demi tahun. Tahun lalu, bilangan korban malaria adalah seramai 1.2 juta orang.
Perkataan malaria berasal daripada bahasa Itali kuno yang bermaksud ‘udara buruk’ kerana penyakit ini dikaitkan dengan kawasan paya dan berair iaitu tempat yang sesuai untuk pembiakan nyamuk.
Salah satu kaedah praktikal dalam usaha memerangi malaria adalah penggunaan kelambu yang mencegah nyamuk tiruk itu daripada menggigit mangsa.
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaria, Ray Chambers berkata, walaupun kelambu dilihat sebagai satu kaedah lama, keberkesanannya telah lama diperakui terutamanya di luar bandar.
Kelambu
PADA tahun lepas kematian yang berpunca daripada malaria turun secara agak mendadak.
“Aktiviti nyamuk tiruk amat aktif pada waktu malam dan dengan menggunakan kelambu berubat semasa tidur ia dapat mengelakkan risiko daripada terkena gigitan yang membawa protozoa plasmodium malaria,” katanya.
Ujarnya lagi, penggunaan kelambu lebih efektif kerana nyamuk yang terkena pada bahagian kelambu itu akan mati.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan menyasarkan penyakit malaria dapat dihapuskan sepenuhnya antara tahun 2015 hingga 2018. Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada penghujung 2008 memaklumkan ramalan tersebut mungkin dicapai dengan usaha pencegahan yang giat dilakukan.
“Pemantauan berterusan populasi nyamuk Anopheles dan juga demam malaria di negara ini juga dilihat membantu sehinggakan negara kini dikelaskan sebagai hampir berjaya membasmi sepenuhnya malaria,” katanya.
Dari segi ubat-ubatan, sebelum ubat Kuinin dijumpai di Peru dan Equador pada awal 1800-an, tidak banyak ubat lain yang boleh dianggap berjaya melawan malaria. Kuinin berasal daripada kulit kayu cinchona iaitu sejenis tumbuhan daripada keluarga kopi. Penduduk pribumi memanggil ubat itu sebagai quina quina yang bermaksud kulit kayu. Namun begitu, ia sukar didapati kerana pokok cinchona hanya tumbuh di utara Amerika Selatan.
Kemudian sekitar 1940-an, ubat anti-malaria jenis sintetik, Chloroquine, dihasilkan dengan kos lebih murah, senang didapati dan lebih selamat daripada Kuinin. Pada masa itu, Chloroquine memberikan perlindungan yang lebih lama terhadap serangan kesemua parasit Plasmodium.
Penemuan kedua yang memberikan impak yang besar terhadap wabak malaria adalah dengan terciptanya Dichloro-Diphenyl-Trichlroethane atau DDT oleh Paul Muller, ahli kimia dari Switzerland yang telah dianugerahkan hadiah Nobel.
PENGGUNAAN kelambu berubat semasa tidur dapat mengelakkan risiko terkena gigitan nyamuk tiruk penyebab malaria.
Beliau mencipta bahan itu pada tahun 1948. DDT berperanan menghapuskan nyamuk Anopheles betina dan kawasan pembiakannya secara besar-besaran.
“DDT bukan sahaja membunuh nyamuk dewasa tetapi ia juga berkesan membunuh jentik-jentik. Wabak malaria di seluruh dunia mula menurun dan dapat dikawal dengan penggunaan DDT dan ubat antimalaria,” katanya.
Pendekatan lain ialah dengan cara penghapusan besar-besaran vektor penyebar parasit malaria. Penghapusan secara fizikal nyamuk Anopheles dengan menggunakan racun secara amnya agak murah dan berkesan untuk kawasan yang mudah dijelajahi.
Idea terbaru dalam proses penghapusan nyamuk Anopheles kini ialah dengan cara menghasilkan banyak nyamuk jantan Anopheles yang mandul. Telur hasil daripada persenyawaan dengan nyamuk jantan tidak akan menetas dan lama-kelamaan populasi nyamuk Anopheles akan pupus dan seterusnya menyebabkan parasit Plasmodium tidak dapat disebarkan lagi.
Mandul
Nyamuk jantan mandul yang akan dihasilkan melalui proses mutasi gen (kejuruteraan genetik) mungkin menjadi jalan keluar kepada masalah wabak malaria.
Demam malaria tersebar kepada manusia oleh nyamuk Anopheles betina yang menghisap darah tetapi sekumpulan saintis Britain menyatakan penyakit maut itu boleh dikekang dengan menggunakan nyamuk jantan tanpa sperma.
Kumpulan saintis Kolej Imperial London memberitahu, nyamuk Anopheles betina masih boleh mengawan dengan nyamuk jantan yang tiada sperma kerana ia telah mengalami pengubahsuaian genetik. Namun, menurut mereka, telur yang dikeluarkan nyamuk betina itu tidak disenyawakan dan ia tidak akan menetas menjadi larva nyamuk.
Penemuan itu boleh membawa perubahan besar dalam perang menentang malaria berikutan spesies nyamuk Anopheles gambiae sensu stricto yang menyebarkan malaria di Afrika cuma mengawan sekali dalam seumur hidup.
“Kami mendapati nyamuk Anopheles betina tidak dapat membezakan nyamuk Anopheles jantan yang subur atau tanpa sperma,” kata ketua kajian terbabit, Flaminia Catteruccia.
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Sumber: Kosmo
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 comments:
cerita pasal nyamuk nie, kalau nyamuk tengah isap darah kita (stim habis nyamuk tu...) contohnya dia isap kat lengan kita la.. cuba kita gengam tangan kuat2 sampai otot lengan keluar... dan dalam masa yang sama.. cuba kita halau nyamuk tu... sure dia tak terbang sebab otot kita dah grip sungut dia.. haha..
http://accurate-transport.blogspot.com
besar kuasa Allah ni. setel firaun dgn nyamuk je.. subahanallah
#newpost1 teknologi parking sendiri ford escape
#newpost2 superman tak pakai underware merah dalam man of steel
#newpost3 natsumi hayashi si model terapung
#newpost4 telur direbus dalam air kencing di china
hahaha. tak sangka =.= nyamuk nyamuk =.=
kalau kne gigit still ada bekas kan?huhu
aku pnah kne denggi,,perhhhhh,,,rasa cam nk mati pn ade,,,,harap2 korang berjaga2 yer dgn nyamuk aedes kekkee,,,,,,, lg satu,,add lh blog sy yer kekeke
Catat Ulasan