08 Februari 2012

Kasih Sayang Kunci Tumbesaran Sihat Anak-Anak


Anak-anak yang mendapat kasih sayang akan membesar dengan sihat.

TEKANAN yang dialami pada zaman kanak-kanak boleh memberi kesan negatif apabila seseorang individu meningkat dewasa. Keadaan ini lebih-lebih lagi akan dialami mereka yang hidup dalam keadaan serba kekurangan. Tetapi jika mereka mendapat kasih sayang dan perhatian ibu bapa ketika kecil, mereka akan membesar dalam keadaan fizikal yang lebih baik.

Berdasarkan kajian dilakukan saintis, jika ibu bapa mendedahkan anak dengan kegiatan harian seperti membenarkan mereka bermain di padang permainan dan pada malam hari pula menemankan anak seketika sebelum mereka tidur serta membacakan mereka kisah yang bermanfaat, rutin berkenaan akan menjadikan anak lebih terhindar daripada sebarang penyakit yang serius.

Bahkan, berdasarkan kajian dilakukan di Universiti Brandeis, Boston juga menunjukkan kanak-kanak yang mendapat penjagaan dan kasih sayang yang erat daripada ibu bapa mereka semasa kecil akan kurang mengalami risiko dihidapi kencing manis mahupun serangan jantung apabila mereka dewasa kelak.

Dalam erti kata lain, kegembiraan adalah kunci kepada kesihatan yang memuaskan dalam kehidupan mereka, malah ibu bapa yang memupuk anak mereka dengan kasih sayang ketika kecil sebenarnya membantu si anak membangunkan diri dalam persekitaran positif, selain anak mampu menangani keadaan menjadikan kehidupan mereka lebih berjaya.

Pasukan kaji selidik ini juga mengkaji 1,000 orang daripada latar belakang berpendapatan rendah menunjukkan tahap kesihatan anak mereka juga adalah lebih rendah selain jangka hayat yang lebih rendah berbanding anak yang membesar dengan kasih sayang ibu bapa yang mencukupi ketika kecil.


Ibu bapa penyayang, benteng perkasa kehidupan anak sehingga ke alam dewasa

Bagaimanapun, kaji selidik itu juga menemukan mereka dengan beberapa orang daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik, namun berjaya dalam kehidupan kerana mereka mempunyai ibu bapa yang penyayang.

Antara kaedah dilakukan penyelidik ini adalah memilih peserta yang rata-rata berusia 46 tahun dan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital. Mereka turut ditanya mengenai ibu mereka dengan soalan seperti berapa banyakkah si ibu memahami masalah dan kebimbangan dihadapi peserta kaji selidik dan berapa banyak masa serta perhatian diberikan ketika peserta memerlukannya.

Sedekad kemudian separuh daripada penduduk atau masyarakat mempunyai sindrom metabolik yang menjadi faktor risiko utama kepada penyakit jantung, strok dan kencing manis.

Ia adalah kombinasi gejala termasuk lemak berlebihan di sekeliling pinggang, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan rintangan insulin yang memberi kesan kepada kira-kira satu daripada empat orang di negara tempat kajian dilakukan.

Kajian itu juga mendapati individu yang tergolong dalam kumpulan taraf sosio ekonomi paling rendah dengan latar ibu bapa mereka tidak menghabiskan sesi persekolahan yang sepatutnya, berisiko tinggi berada dalam kelompok yang tidak memberangsangkan seperti jangka hayat dan taraf kesihatan yang rendah. Sebahagian daripada mereka juga turut mengalami sindrom sama seperti dialami orang tua mereka, terjejas tanpa mengira mobiliti sosial mereka di kemudian hari.

Pengkaji yang menerbitkan penulisan mengenai kajian ini, Profesor Margie Lachman, berkata tekanan dialami zaman kanak-kanak boleh meninggalkan kesan biologi yang akan dapat dilihat pada pertengahan usia, namun akan mempunyai fizikal yang sihat sekiranya dipupuk dengan perhatian oleh ibu mereka ketika kanak-kanak.

Meskipun kesan berkenaan berisiko tinggi dan seolah-olah sudah sebati dengan kejadian pada zaman kanak-kanak, penyelidik juga mendapati mereka yang mempunyai ibu penyayang ketika mereka di zaman kanak-kanak mempunyai risiko lebih rendah terhadap kehidupan negatif ketika mereka dewasa.


Kanak-kanak riang genbira.

“Secara mudahnya, kejadian dialami atau rutin yang mereka jalani pada zaman kanak-kanak seperti meninggalkan kesan biologi yang mendalam terhadap kesihatan sepanjang hayat mereka apabila dewasa kelak.

“Kita boleh melihat kesan jangka panjang akan apa yang dialami pada zaman kanak-kanak adalah sesuatu yang dramatik apabila mereka meningkat dewasa,” katanya.

Apa yang dikesan, sikap dan memupuk kasih sayang antara ibu terhadap anak mereka ketika kecil adalah bekalan terbaik untuk semua aspek terhadap si anak apabila mereka membesar dan dewasa kerana ia bukan saja membolehkan anak mempunyai latar belakang sosio yang kukuh, bahkan membesar menjadi individu sihat.

Prof Lachman berkata, maklumat yang mereka peroleh boleh membantu merangka program untuk ibu bapa mengenai menghadapi tekanan hidup dialami anak mereka, hidup dengan gaya hidup yang sihat dan mempunyai kawalan ke atas nasib mereka di kemudian hari.

Justeru, adalah penting bagi ibu mahupun bapa membekalkan dan memupuk anak seberapa banyak kasih sayang ketika anak masih kecil kerana kasih sayang itu adalah penguat dan benteng kepada anak untuk membina satu kehidupan perkasa dan bermutu apabila mereka memasuki alam dewasa.

Susunan Shaidah Shafie
Sumber: BHarian

4 comments:

Unknown berkata...

tak payah nk tunggu kajian universiti2 trnama.. Islam itu sendiri adalah agama kasih sayang.. tak kiralah besar ke.. kecik ker.. hanya kasih sayang yg boleh buat manusia bahagia.. tak gitu,,

Uji Hussein berkata...

Selain kasih sayang, genetik juga penentu saiz tubuh seseorg.

tunz berkata...

melentur buluh biarlah daripada rebungnya...

caer sasuke berkata...

caer stuju ngan mohamad abu bakar kamal..islam agama syumul =)