27 Mei 2012

Fenomena Istiwa' Memudahkan Semak Arah Kiblat

Semak arah kiblat petang Ahad ini, 27 Mei 2012 ...



Umat Islam di seluruh negara berpeluang menyemak arah kiblat menggunakan teknik bayang matahari pada pukul 5.18 petang, Ahad 27 Mei 2012 ini.

Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sarawak berkata, peluang keemasan itu tidak wajar dilepaskan kerana fenomena istiwa' matahari yang menyebabkan bayang semua objek menjadi tegak 90 darjah di seluruh dunia hanya berlaku dua kali setahun. Pada tahun ini ia berlaku pada 27 Mei dan 15 Julai 2012.

Tambahan pula, katanya, penggunaan teknik bayang matahari adalah mudah dan paling tepat untuk menentukan arah kiblat kerana pada masa itu matahari berada tepat di langit bersamaan dengan latitud Kaabah.


"Fenomena istiwa' matahari berlaku dua kali dalam setahun iaitu ketika matahari bergerak menuju ke arah utara dalam bulan Mei dan ketika matahari kembali ke ekuinoks dalam bulan Julai.

"Fenomena itu berlaku pada 28 Mei dan 16 Julai setiap tahun kecuali pada tahun lompat. Memandangkan 2012 merupakan tahun lompat, maka tarikh akan berganjak lebih awal iaitu pada 27 Mei dan 15 Julai," katanya.

Mengulas lanjut, bahagian berkenaan berkata, jika berpeluang berada di Masjidil Haram ketika itu, seseorang berpeluang melihat Kaabah serta apa yang berdiri tegak di persekitarannya seolah-olah tidak ada bayang-bayang.

Katanya, pada saat itu, waktu di Mekah adalah 12.18 tengah hari dan di Malaysia ialah 5.18 petang.

"Jika memandang ke arah matahari (pada waktu itu), bermakna kita sedang menghadap tepat ke arah kiblat.

"Istiwa' matahari di atas Kaabah akan menyebabkan bayang semua objek tegak 90 darjah di seluruh dunia bersamaan dengan arah kiblat dan ini boleh dilihat pada 27 Mei dan 15 Julai 2012 ini ketika menghampiri waktu zuhur di Mekah.

"Mengikut pengiraan pada 15 Julai 2012 ini pula, istiwa' matahari di atas Kaabah tepat pukul 12.27 tengah hari waktu Mekah yang bersamaan pukul 5.27 petang waktu Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bahagian berkenaan turut membandingkan ketepatan teknik bayang matahari untuk menentukan arah kiblat berbanding penggunaan teknik lain seperti kompas.

Katanya, kompas berfungsi berdasarkan medan magnet bumi dan jika ada sumber medan magnet yang berdekatan seperti besi, aliran elektrik dan lain-lain, penunjuknya akan terpesong.

"Jika kita tidak berhati-hati ia akan memberi kesan kepada arah yang hendak dicari. Objek-objek di angkasa merupakan sebaik-baik petunjuk arah kerana ia tidak terpesong walau sedikit pun," katanya.

Sumber: Utusan

2 comments:

Aqilarin berkata...

Subhanallah.. nak check esok ni. mohon share di FB ye;)

caliph shuriken berkata...

arigatou utk info ni ^^