07 Mei 2012

Katak Comel, Warna Menarik Tetapi Beracun


Cantik untuk dilihat, bahaya untuk disentuh dan dipegang.

RONA fizikal katak daripada keluarga Dendrobatidae itu sangat menarik. Komponen warna primer seperti kuning, emas, perak, merah, hijau, biru dan hitam yang mencolok mata dengan rekaan yang berlebihan pasti memukau pandangan orang ramai.

Lebih dikenali sebagai poison dart frog (katak damak beracun), kebanyakan ukuran panjang haiwan comel itu kurang 1.5 sentimeter, tetapi ada juga yang berukuran sehingga mencecah enam sentimeter.

Warna dan saiz berlainan itu bergantung kepada habitat katak tersebut. Ia banyak ditemui di hutan hujan tropika di benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah di antara Costa Rica dan Brazil, manakala sedikit di kepulauan Hawaii.


Terdapat lebih 100 spesies katak damak beracun bergantung kepada warna dan corak. Ada yang berwarna hijau dan hitam dengan corak bintik hitam. Ada juga yang seakan-akan buah strawberi, manakala yang lain berbadan warna merah dan berkaki biru.


Katak Dendrobatidae mempunyai saiz yang kecil

Amaran

Sebenarnya, warna dan rekaan berlebihan itu merupakan cara katak tersebut memberi amaran kepada haiwan pemangsa. Teknik yang dikenali sebagai pewarnaan aposematik (menggunakan warna untuk menakutkan musuh) turut dimiliki oleh haiwan lain.

Bukan sahaja sebagai amaran, tetapi kulitnya juga mengandungi racun berbisa. Bayangkan, seekor katak jenis keemasan sepanjang lima sentimeter sudah cukup untuk membunuh 10 lelaki dewasa. Ia menjadikan haiwan tersebut antara yang bertoksik di muka Bumi.


WARNA dan corak pada badan katak ini disebabkan oleh persekitaran habitat haiwan tersebut.

Para saintis masih lagi tidak dapat memastikan sumber toksik yang terdapat pada katak tersebut namun terdapat kemungkinan ia mengasimilasi racun-racun tumbuhan yang dibawa oleh serangga seperti semut, kumbang dan anai-anai.

Peliknya, katak kecil itu hidup secara terasing dan terpisah daripada serangga lain di habitat tersendiri yang tidak mungkin boleh menghasilkan bisa.

Komuniti penyelidikan untuk perubatan menemui kemungkinan beberapa jenis bisa daripada katak tersebut boleh digunakan dalam bidang perubatan. Pihak terlibat telah membangunkan sejenis kompaun versi bisa sintetik yang boleh dijadikan sebagai ubat penghilang kesakitan.

Cara katak jantan menarik perhatian pasangannya adalah melalui kaedah mengeluarkan getaran vokal yang sangat kuat. Selepas selesai mengawan, katak betina akan mengeluarkan beberapa dozen telur yang diselaputi pelindung seperti bahan agar-agar di atas daun.

Sepanjang dua minggu pertama, si jantan akan memeriksa telur secara berkala. Apabila berudu menetas, ia akan berenang ke atas badan katak jantan dan bapanya akan membawa ke tempat yang sesuai untuk membesar. Apabila sudah berada di lokasi yang sesuai, berudu akan hidup secara sendiri dan memerlukan masa tiga bulan untuk mengalami proses metamorfosis menjadi katak kecil.

Jangka hayat seekor katak damak beracun yang hidup dalam persekitaran terasing boleh mencapai lebih 10 tahun.


KATAK jantan akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat bagi menarik pasangan untuk mengawan.

Sesetengah spesies katak itu berada pada tahap terancam kerana kehilangan habitat yang menyebabkan bilangannya semakin berkurang.

Melalui sumber daripada sebuah kedai menjual haiwan eksotik, Reptiles Planet and Pet Studio, untuk memelihara haiwan tersebut di negara ini, seseorang itu perlu memiliki lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Ia adalah spesies dilindungi dan harganya sangat mahal dengan minimum harga RM350," ujar seorang pemilik yang tidak mahu dikenali. Buat masa ini, kedai yang terletak di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur itu tidak mempunyai stok.

Tambahnya, katak damak beracun dijaga dengan cara yang amat mudah. Setiap hari haiwan tersebut perlu disembur air dan diberi makan cengkerik kecil. Bagi yang hidup di habitat liar pula, ia akan memakan serangga kecil seperti semut dan anai-anai. Kebanyakan makanannya ditemui di lantai hutan dengan cara menangkap menggunakan lidah yang panjang.

Sumber: Kosmo

8 comments:

Cik Kay Jue berkata...

ada juga orang bela... hish.. beracun... tapi warna kulit dia menarik la... hehe..

Unknown berkata...

indahnya ciptaan Ilahi

Si Matatajam berkata...

Memang cantik, Tp M memang geli tgk katak. eeeeuuu....

syiela berkata...

comelnya.. ni kalau nampak dek anak syiela mau dikejar dan tangkapnya.. jenuh pulak nak jerit jgn tangkap katak tu beracun!

ch000tz berkata...

yang cantik dan indah tu tak semestinya bagus dan berguna kan....

Karen Monica berkata...

warna yang menarik..tapi puteri geli la ngan katak ...hukk

caliph shuriken berkata...

pnah tgk satu citer lama dulu.. lagi warni warni & lagi itam pekat warna binatang tu, bmakna ia kategori berbisa / beracun...

Lieza Nordin berkata...

hehhehe... comel cm ne un kalau geli ttp akan geli..hehehhe xD