16 Jun 2012

Peranan Penting 'Tuan Dressar' Dalam Penjagaan Kesihatan


Tuan Dressar? Siapakah mereka itu? Adakah Tuan Dressar masih wujud di zaman ini?

Mereka yang dilahirkan sebelum tahun 1960an sudah tentu akan ingat terhadap panggilan 'Tuan Dressar' bila mereka ke klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan. Di tahun-tahun awal Malaysia (Malaya ketika itu) baru mengecapi kemerdekaan, kekurangan doktor terutama dari golongan anak watan memang begitu ketara sekali.

Bagi masyarakat ketika itu, mereka mengalami suatu peralihan di mana pada zaman dahulu mereka bergantung kepada bomoh untuk mengubat pelbagai 'sakit pening' yang dialami.

Tetapi arus kemerdekaan turut mengubah persepsi masyarakat zaman itu terhadap bidang perubatan dan anjakan ini membawa mereka mendapatkan rawatan di institusi 'rumah sakit' iaitu panggilan lama bagi hospital.


"Dulu saya pernah dipatuk ular ketika melalui lorong dalam estet getah. Bapa saya mengejarkan saya ke klinik kesihatan di kampung. Nasib saya baik, 'dressar' yang bertugas menyelamatkan saya setelah menyuntik ubat penawar bisa ular itu," cerita Mat Hassan Seman, 62, yang berasal dari Gua Musang Kelantan.

'TUAN DRESSAR'

Seorang lagi yang pernah dirawat 'dressar' adalah Hussin Abu dari Batu Arang, Selangor yang menceritakan bagaimana tapak kakinya luka teruk terpijak serpihan kaca.

"Kawan-kawan bawa saya ke klinik kerajaan di Batu Arang dan saya menerima 10 jahitan di tempat yang luka. Dressar yang melakukannya," jelas beliau.

Mengikut catatan arkib perkembangan sektor penjagaan kesihatan di Malaysia, profesion 'dressar' ini telah wujud hampir dua abad lalu di negara ini. Pada awalnya ia dikenali sebagai 'apothecaries' yang diperkenalkan oleh pentadbiran British di Pulau Pinang pada tahun 1823.

Di Britain, apothecaries adalah mereka yang menyediakan, menjual dan memberi ubat-ubatan. Kerjaya ini kemudian menjadi 'Sub-Assistant Surgeon' di zaman kolonial dan kemudian dipanggil 'dressar' oleh komuniti Melayu ketika itu.

Panggilan ini terbit daripada perkataan Bahasa Inggeris 'dresser' iaitu merujuk kepada pembantu jurubedah yang membalut luka pesakit.

SERBA KEKURANGAN

Di zaman pemerintahan British Malayan Administration (BMA) iaitu tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, khidmat kesihatan bagi masyarakat berada dalam serba kekurangan dari segi kemudahan dan insfrastrukturnya.

Ketika itu, penjagaan kesihatan masyarakat amat daif di mana hospital amat kurang dan cuma wujud di bandar-bandar besar. Di kampung serta kawasan pedalaman, tidak ada pusat kesihatan, hospital mahupun farmasi yang menjual ubat seperti sekarang.

Pada dekad-dekad yang lampau inilah, pihak pentadbiran kolonial mula membawa masuk pembantu hospital dari Ceylon (kini Sri Lanka) dan India bagi menjaga keperluan kesihatan serta kebajikan pekerja-pekerja estet getah kepunyaan British.

Ada juga 'Tuan Dressar' yang berbangsa Serani ini ditempatkan di hospital kerajaan ketika itu.

'Dressar' ini berkhidmat di daerah terpencil di mana mereka tinggal di kuarters di kawasan klinik atau hospital bagi menyenangkan khidmat mereka ditagih di waktu malam serta kecemasan.

Adakah khidmat 'dressar' semakin dilupakan oleh masyarakat yang kini dilengkapi kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan serba moden?

TRANSFORMASI KEPADA PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan menjadi sebuah negara berdaulat yang dinamakan Malaya, pihak Kementerian Kesihatan memberikan beberapa transformasi terhadap kerjaya ini.

Pada tahun 1963, 'dressar' dikenali sebagai pembantu rumah sakit. Tujuh tahun kemudian, nama jawatan ini ditukar kepada pembantu hospital dan selanjutnya sebagai pembantu perubatan pada tahun 1985. Kini sejak tahun 2007, ia dikenali sebagai penolong pegawai perubatan atau PPP.

Menurut Kementerian Kesihatan, fungsi penolong pegawai perubatan adalah memberi perkhidmatan penjagaan kuratif, promotif, pencegahan dan rehabilitatif kepada setiap lapisan masyarakat.

Statistik sehingga tahun 2010, menunjukkan lebih 12,000 orang penolong pegawai perubatan yang berdaftar dengan Lembaga Pembantu Perubatan Kementerian Kesihatan.

LATIHAN

Seorang PPP yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Noordin yang pernah berkhidmat di Pusat Kesihatan Merbok, Kedah berkata:" Sebelum Perang Dunia Kedua, latihan yang di berikan kepada pembantu perubatan tidak seperti mana yang terdapat pada hari ini.

"Mereka menjalani latihan semasa bekerja dan mendapat bimbingan daripada pegawai perubatan (doktor) yang bertugas. Pembantu perubatan yang menjalani latihan akan menduduki beberapa peperiksaan yang dianjurkan kementerian," jelas Mohd Noordin yang mendapat latihan di Kolej Pembantu Perubatan di Seremban.

Selepas Perang Dunia Kedua, pelatih pembantu perubatan dihantar untuk menjalani latihan di Sekolah Latihan Jururawat dengan mengikuti kursus yang sama sehingga tamat latihan dalam peperiksaan akhir.

Pada tahun 1965, Kementerian Kesihatan melancarkan latihan paramedikal yang diberi nama 'Crash Programme'.

Ekoran program itu, maka terbinalah sebuah Sekolah Latihan Pembantu Perubatan (SLPP) yang terletak di Jalan Rasah, Seremban (Negeri Sembilan) yang dirasmikan pada 25 Ogos 1971.

Sejak 1993, selaras dengan perkembangan pesat ilmu perubatan di Malaysia, Sijil Pembantu Perubatan telah dinaiktaraf kepada Diploma Pembantu Perubatan.

Serentak dengan itu Sekolah Latihan Pembantu Perubatan telah ditukar menjadi Kolej Pembantu Perubatan (KPP). Sehingga hari ini terdapat empat buah Kolej Pembantu Perubatan di Seremban, Ulu Kinta (Perak), Alor Setar (Kedah) dan Kuching (Sarawak).

PERANAN

Menurut Mohd Noordin, PPP memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan komuniti terutama dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan asas dan rawatan kecemasan .

"Mereka sebenarnya sebahagian daripada golongan profesional penjagaan kesihatan yang menjalankan kerja administratif dan klinikal bagi membantu tugas doktor perubatan dan kakitangan penjagaan kesihatan yang lain.

"PPP menjalankan tugas seperti memeriksa tanda-tanda penting pada pesakit, memberi dan menyuntik ubat, mencatatkan keterangan dalam rekod perubatan, menyediakan peralatan perubatan, mengumpul spesimen cecair badan dan tisu bagi ujian makmal," kata beliau yang kini berkhidmat di sektor swasta.

Hari ini, PPP merupakan satu komponen penting dalam operasi sesebuah fasiliti kesihatan seperti klinik di mana mereka menjalankan kombinasi tugas pengurusan, perkeranian dan juga klinikal.

Mereka juga menjalankan kerja konsultasi dan diagnostik di bawah pengawasan pegawai perubatan.

Masyarakat tidak pernah lupa pada jasa "Tuan Dressar" dan kini PPP memainkan peranan serba boleh setiap hari di mana profesion itu telah berkembang dengan rancak dan merupakan kerjaya penting bagi dunia kesihatan bersekutu.

KLINIK 1MALAYSIA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Klinik 1Malaysia di seluruh negara dalam Bajet 2010 sebagai satu daripada usaha kerajaan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan rakyat.

Klinik ini menyediakan khidmat rawatan yang diterajui PPP serta jururawat yang berpengalaman sekurang-kurangnya lima tahun. Klinik 1Malaysia yang diwujudkan atas konsep 'Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Diutamakan' telah memberi khidmat penjagaan kesihatan berkualiti kepada penduduk miskin di kawasan bandar.

Sehingga Oktober 2011, seramai 2.97 juta orang menggunakan perkhidmatan Klinik 1Malaysia yang dicatatkan di 82 klinik seluruh negara.

Kerajaan merancang menambah Klinik 1Malaysia kepada lebih 150 menjelang akhir tahun ini termasuk 50 klinik baru yang akan dibina di bawah peruntukan Belanjawan 2012.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA [11/06/2012]

2 comments:

Unknown berkata...

dh lama x dengar ttg dressar ni..lama2 perkataan ni boleh pupus ni

Karen Monica berkata...

rasanya macam tak pernah dengar pun...hukk