01 Disember 2012

Sindrom CARPAL TUNNEL


Pesakit sindrom Carpal Tunnel sering kebas di bahagian hujung jari dan biasanya mereka akan mengurut untuk mengurangkan rasa kebas.

SEORANG wanita datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengadu tangannya terutama ibu jari hingga ke jari manis sering terasa kebas apabila bangun dari tidur. Kadang kala jari tangannya yang dibengkok tidak dapat diluruskan semula seperti kekejangan otot di bahagian jari.

Wanita berkenaan juga tidak dapat memegang stereng dengan baik ketika memandu atau tidak dapat memegang jarum dengan baik semasa menjahit.

Menurutnya biasanya dia akan mengurut lengannya dengan minyak urut apabila bangun dari tidur tetapi sakitnya akan kembali pada esoknya.


Senario berkenaan menurut Pakar Runding Pembedahan Ortopedik, Pembedahan Sukan dan Sendi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Yong Chee Kuen, dikenali sebagai Sindrom Carpal Tunnel atau di Barat dikenali sebagai typist hand atau writers hand.

"Ada yang mengaitkannya dengan kerja-kerja menaip tetapi sindrom berkenaan juga disebabkan pesakit menggunakan mesin berat atau bergetar dalam tempoh masa yang berterusan dengan tangan," katanya.

Dr. Yong berkata, analogi Sindrom Carpal Tunnel sama seperti berada di dalam Smart Tunnel apabila berlaku kemalangan, jalan raya akan menjadi sesak," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sindrom ini berlaku apabila saraf median pada pergelangan tangan tersepit disebabkan terowong di sendi pergelangan tangan menjadi semakin sempit.

Terowong berkenaan memberikan laluan dan perlindungan kepada lapan saraf median ke bahagian tangan.

"Tekanan pada saraf median ini akan menyebabkannya tidak berfungsi dengan normal serta menimbulkan rasa sakit dan kebas, seterusnya melemahkan bahagian tangan," katanya.

Simptomnya bermula secara perlahan-lahan dengan rasa sakit pada bahagian pergelangan tangan yang boleh melarat ke bahagian tangan dan lengan.

Rawatan

Pesakit yang mempunyai simptom Sindrom Tunnel Carpal disarankan menjalani ujian saraf Nerve bagi menentukan sama ada impuls elektrik saraf menjadi perlahan atau tidak.

"Biasanya ujian yang dijalankan pada kedua-dua belah tangan dan selepas itu jika terdapat sindrom berkenaan, rawatan akan dilakukan pada kedua-dua belah tangan.

"Ujiannya yang dijalankan boleh menentukan sama ada kecederaannya parah, sederhana atau ringan.

"Selain itu doktor juga akan memeriksa deria rasa pada jari dan kekuatan otot-otot pada tangan," katanya.

Pesakit yang mendapatkan rawatan perlu memastikan dan memaklumkan doktor tempat di mana simptom dan tanda-tanda Sindrom Carpal Tunnel berlaku sekitar bahagian tangan.

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Sumber: Utusan

1 comments:

Unknown berkata...

baru dengar sakit ni

show lagi..http://www.gilamodified.com/2012/12/the-library-opening-ceremony-autoshow.html