Nuff Atas

05 Disember 2012

Wanita Teleport Selamatkan Lelaki Berbasikal


RAKAMAN video memaparkan wanita teleport (dalam bulatan) tiba-tiba muncul di hadapan lori lalu menyelamatkan penunggang basikal.

Kemunculan manusia teleport heboh diperkatakan di China baru-baru ini apabila sebuah kamera yang dipasang di jalan raya berjaya merakam video seorang wanita yang boleh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam sekelip mata.

Video yang dimuat naik ke laman YouTube itu memaparkan aksi wanita tersebut yang menyelamatkan nyawa seorang lelaki berbasikal yang hampir-hampir dilanggar oleh sebuah lori.

Dalam kejadian yang dirakamkan pada waktu malam itu, sebuah lori dilihat ingin membelok ke kanan di satu persimpangan apabila sebuah basikal yang ditunggangi lelaki itu meluncur laju di hadapannya.


Wanita China

Ketika basikal itu betul-betul berada di hadapan lori dan hampir dilanggar, dengan tidak semena-mena muncul satu cahaya yang disertai dengan kehadiran seorang wanita persis seorang adi wira. Wanita itu dengan pantas menyentuh basikal tersebut dan hilang dalam sekelip mata.

Dalam hanya sesaat, wanita serta penunggang basikal itu telah pun berada di bahu jalan dalam keadaan selamat.

Pemandu lori yang cemas itu kemudian memberhentikan kenderaannya. Dia terus meninjau ke belakang lori bagi mencari penunggang basikal yang dikhuatiri terperosok di bawah lorinya.

Namun, alangkah terkejutnya lelaki itu apabila dia mendapati penunggang basikal tadi sedang duduk di bahu jalan dalam keadaan keliru dan terkejut.

Sementara wanita yang menyelamatkannya tadi terus berjalan sebelum hilang daripada pandangan.

Selain itu, sebuah lagi rakaman video kamera amatur yang dirakam oleh seorang individu memaparkan wanita yang sama dilihat sedang berlari perlahan dan tiba-tiba ghaib.

Dalam sekelip mata, wanita itu berada di tempat lain berserta dengan satu cahaya yang menunjukkan pergerakannya yang pantas seperti kilat.

AWESOME teleportation in China

Published on 14 Sep 2012

Kedua-dua kejadian yang dirakamkan di China itu mendapat pelbagai reaksi daripada beribu-ribu penonton YouTube yang masing-masing memperdebatkan mengenai kesahihan video tersebut.

Ada yang mendakwa video tersebut palsu dan hanyalah satu bentuk promosi sebuah permainan video.

Ada yang mempercayainya dengan mengatakan bahawa wanita itu sememangnya seorang adi wira yang menyelamatkan manusia, serta tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan propaganda pihak pemerintah China yang mahu menarik perhatian dunia.

Namun yang pasti, rata-rata individu mengaitkan kejadian luar biasa itu dengan fenomena teleportasi, iaitu suatu kaedah pergerakan yang menghubungkan sistem telekomunikasi dan pengangkutan bagi membolehkan sesuatu benda bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam sekelip mata tanpa melibatkan sebarang pergerakan fizikal.

Teleportasi Dalam Star Strek


ADEGAN filem Star Trek pada tahun 1966 yang memaparkan teknologi teleportasi ke atas manusia.

BAYANGKAN anda yang sedang duduk bersantai di Kuala Lumpur dan tiba-tiba dalam sekelip mata mendapati anda berdiri di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru.

Ia kedengaran tidak masuk akal walaupun Gene Roddenberry, penerbit siri sains fiksyen Star Trek telah memvisualkan idea itu sejak 46 tahun lalu.

Dalam siri popular itu, seseorang dapat muncul atau menghilangkan diri selepas berdiri di bawah pancaran cahaya. Kaedah itu kemudian dikenali sebagai teleportasi.

Proses

Dari sudut sains, teleportasi melibatkan penghapusan suatu objek yang berada di satu tempat dengan cara menghantar butiran konfigurasi zarah-zarah objek berkenaan kepada satu lokasi lain, bagi menghasilkan semula objek tersebut di lokasi baharu itu.

Hal ini bermakna, ruang serta masa perjalanan dapat dihapuskan kerana objek tersebut akan berada di lokasi yang lain dengan segera, tanpa perlu melalui jarak sebarang medium yang ada.

Kajian mengenai fenomena teleportasi telah bermula sejak tahun 1993 apabila sepasukan penyelidik daripada syarikat gergasi IBM yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa kejadian teleportasi sememangnya wujud.

Menurut ketua penyelidik yang juga seorang ahli fizik, Charles Bennett, teleportasi akan dapat dilakukan hanya jika objek yang melalui proses itu dihapuskan sama sekali.


MAKLUMAT sistem tubuh makhluk hidup yang kompleks menyukarkan proses penukaran foton kepada gelombang radio.

Pendedahan itu diumumkan buat pertama kalinya oleh Bennett pada satu mesyuarat tahunan Persatuan Fizik Amerika pada Mac 1993 yang turut menyerahkan satu laporan kajiannya mengenai penemuan fenomena luar biasa itu.

Semenjak itu, lebih banyak eksperimen yang menggunakan foton (sejenis zarah cahaya) dilakukan bagi membuktikan bahawa fenomena teleportasi bukanlah suatu yang mustahil.

Antaranya ialah satu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan ahli fizik dari Institut Teknologi California, AS pada tahun 1998 yang berjaya menteleport foton suatu objek sehingga melepasi jarak 1 meter.

Pada tahun 2004 pula, sekumpulan penyelidik dari Australia meneruskan kajian mengenai fenomena itu dengan menteleport keseluruhan aliran foton dalam bentuk pancaran laser dari satu sudut ke satu sudut yang lain di dalam sebuah makmal.

Oleh NOR SYARIZA MUHD. TAHIR
Sumber: Kosmo

1 comments:

Aishah Jahirah berkata...

xde apa yg mustahil...tp mmg misteri la...