28 Mac 2013

Pameran Lukisan Pensil Warna di Galeri Shah Alam



Seni Pensil Warna

Pensil warna yang selalunya dianggap sebagai 'mainan' seni budak sekolah dan kanak-kanak, sebenarnya jika diolah mampu mencetuskan sebuah karya seni luar biasa. Cetusan warna yang diadun hasil padanan pelbagai rona berwarna-warni bisa menggetarkan jiwa peminat karya seni.

Lukisan daripada medium pensil warna sebenarnya memiliki pesona tersendiri setanding lukisan air, lukisan minyak dan arkilik berteraskan kreativiti serta fantasi pelukis pensil warna.

Pameran Lukisan Pensil Warna di Galeri Shah Alam, yang sedang berlansung kini, mempamerkan kepelbagaian karya seni oleh pelukis pensil warna berbakat tempatan.

Karya seni yang dipamerkan jelas bernilai tinggi, ditambahkan pula dengan cetusan kreativiti serta pantulan warna yang diadaptasi daripada gabungan warna-warna dari pensel warna.


Bukan hanya menjadi hasil seni yang bernilai tinggi, kreativiti serta mainan warna yang diadun sempurna menjadikan karya pensil warna dipersembahkan cukup mempesonakan.

Menurut Ketua Pameran Lukisan Pensil Warna, Hasren Ismail atau lebih dikenali sebagai Uneh, pameran julung kali yang mengetengahkan pelukis pensil warna bertujuan untuk mengetengahkan potensi serta kepelbagaian seni daripada pensil warna yang sebelum ini dipandang sepi.

Beliau berkata, pameran kali ini berjaya menghimpunkan seramai 116 pelukis pensil warna berbakat berbakat seluruh negara termasuk 40 pelajar sekolah bagi menonjolkan 200 karya seni berteraskan medium pensil warna.

“200 karya lukisan pensil warna yang dipamerkan ini adalah hasil penilaian pihak penganjur selepas kita mendapat begitu banyak sambutan untuk menyertai pameran sulung ini,” kata Uneh yang berpengalaman luas menganjurkan pameran dan bengkel lukisan warna di seluruh negara.

Penyertaan segenap lapisan masyarakat

Selain penyertaan pelajar sekolah seawal usia sembilan tahun, kata Uneh, pelukis juga terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Selain memiliki pelbagai latar belakang pekerjaan, rata-rata pelukis juga menjadikan profesion itu sebagai hobi masa lapang.

“Ada di kalangan pelukis ini cikgu, suri rumah, pelukis batik, kakitangan muzium dan banyak lagi. Ada juga pelukis yang memang menjadikan bidang ini profesion mereka sepenuh masa,” kata Uneh.

Tatkala dikhabarkan begitu, ternyata timbul pula rasa bangga sementelah nilai seni ditonjolkan pelukis itu cukup tinggi. Ditambahkan dengan tuntutan profesion sedia ada, ternyata tidak ramai yang mampu memberikan komitmen sedemikian ditambahkan lagi dengan kerumitan proses mewarna.

Foto
ANTARA lukisan pensel warna yang dipamerkan di Pameran Seni Lukisan Pensil di Galeri Shah Alam.

Aktiviti seni mempelbagai program

Pameran Lukisan Pensil Warna yang bermula 5 Mac hingga 14 April 2013 depan menyaksikan pelbagai program dianjur sebagai sebahagian daripada pengisian acara.

Kata Uneh, ahli jawatankuasa pameran itu bertungkus-lumus mengadakan pelbagai slot program sepanjang hari yang bertujuan untuk menggalakkan penyertaan pengunjung terutama kanak-kanak.

Selain bengkel belajar mewarna, aktiviti seni lain yang turut difokuskan ialah seperti bicara seni, bengkel kraftangan, jualan pasar lambak mini seni.

“Kita mahu setiap hari ada saja aktiviti yang mampu memeriahkan Galeri Shah Alam ini. Selain memperkenalkan lukisan pensil warna, dengan pengisian program sebelah pagi dan petang ia dapat menggalakkan penyertaan pengunjung.

“Setiap hujung minggu juga kita akan mengadakan jualan pasar lambak mini seni yang tentunya memeriahkan lagi Galeri Shah Alam,” kata Uneh.


Foto
Dunia kreativiti yang memiliki pesona tersendiri

'Kami bukan pelukis kelas kedua'

Kedengaran ada nada kecewa dalam pertemuan dengan Uneh tatkala dia berkongsi rasa hati mengenai persepsi sesetengah pihak yang mengkelaskan medium seni pensil warna sebagai karya ‘kelas kedua’.

Pendapat yang diibaratkan Uneh sebagai memperlekeh hasil kerja seni, sebaliknya beliau mahu cuba membuktikan betapa karya seni berteraskan medium pensil warna sebenarnya berpotensi untuk mencetuskan sebuah karya agung menerusi eksperimen seni pensil warna.

“Sebab itu saya cuba usulkan idea untuk menghimpunkan pengkarya seni pensil warna di mana dengan cara ini kita dapat mengangkat martabat, seterusnya berkongsi pentas yang sama untuk menyuburkan program dan gerakan berteraskan karya pensil warna.

“Tidak sangka, sebenarnya ramai peminat pensil warna yang ditemui khususnya di Facebook, maka dapatlah direalisasikan sebuah pameran yang dapat menghimpunkan pelukis pensil warna ini,” katanya yang turut digelar raja pensil warna kerana kesungguhan serta kepelbagaian karya dihasilkan.

Bercerita lanjut, kata Uneh sudah tiba masanya pelukis pensil warna ditonjolkan selain memiliki kelab pensil warna Malaysia yang berfungsi mengetengahkan bakat dan peranan pelukis berkenaan.

Menerusi kelab, pelbagai aktiviti dapat diaturkan yang secara tidak langsung memperkasa peranan dan mengubah persepsi pelukis kelas kedua.

“Kita kena tunjukkan yang pensil warna ini bukan semata-mata untuk kanak-kanak saja. Ia sebenarnya adalah pilihan kita dan tidak perlu malu untuk melukis dan mewarna menerusi medium ini.

“Dengan tercapainya pameran pensil warna yang julung kali diadakan ini, saya percaya akan ada lebih banyak aktiviti membabitkan pelukis pensil warna,” kata Uneh.

Berkongsi hasil karyanya yang turut dipamerkan dalam Pameran Pensil Warna di Galeri Shah Alam, Uneh berkata dia hanya memuatkan satu saja hasil karya bertemakan bunga yang dirasakan memiliki nilai estetika tersendiri.

“Setiap peserta berpeluang meletakkan sehingga empat karya tetapi saya mengambil keputusan untuk meletak satu saja karya saya sebagai memberi laluan kepada peserta lain dari seluruh negara,” katanya.



Seni pensil warna ~ Daripada Sumber Google

Komen pelukis.

Zuber, 23, pelajar UiTM Shah Alam
“Mulanya dulu saya meminati lukisan kartun dan daripada situ saya menyemai minat menerusi medium pensil warna. Dengan bidang pengajian saya sekarang iaitu sarjana muda dalam arkitek landskap saya praktikkan kemahiran melukis warna untuk setiap tugasan.”

Maisarah Saidi Sukri, 26, guru sekolah rendah
“Dalam pada terikat dengan tugasan mengajar, saya cuba mencuri sedikit waktu terluang untuk mencurah kreativiti pada seni lukisan pensil warna. Jangan tidak tahu, karya saya yang dimuatkan di internet turut mendapat perhatian dan sudah beberapa lukisan saya dibeli pelanggan di Singapura.”

Maisaraf Marman, 32, Penolong Kurator Muzium Etnologi Dunia Melayu
“Pameran ini secara tidak langsung memberi peluang buat pelukis pensil warna mempamer bakat menerusi karya yang dipamerkan. Seperti mana saya, barulah kini bergiat balik dalam hobi melukis ini dengan medium pensil warna. Selain memperkuat sokongan, menerusi pameran ini kita mampu berkongsi pendapat dan pengalaman masing-masing.”



INFO

* Galeri Shah Alam adalah di bawah naungan Yayasan Seni Selangor ditubuhkan pada 26 Januari 1991 dan berfungsi sebagai pusat pameran dan pertembungan karya penggiat seni tanah air dan luar negara.

* Pada 6 Julai tahun yang sama, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang juga Sultan Selangor pada ketika itu merasmikan galeri berkenaan.

* Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan diilhamkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ketika itu bergelar Raja Muda Selangor. Baginda sendiri adalah seorang yang meminati dan mencintai seni lukis dengan begitu mendalam.

* Sejarah awal bangunan berbentuk Melayu tradisional itu dibina untuk Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Selangor yang direka oleh Maimunah Deraman pada awal 1980-an.

* Majlis Bandaraya Shah Alam kemudiannya melaksanakan pengubahsuaian dengan tujuan untuk memudahkan aktiviti seni di Galeri Shah Alam.

* Bangunan Galeri Shah Alam yang indah dengan reka bentuk seni bina Melayu tradisional turut dikelilingi tasik dan taman rekreasi sekali gus menambah keindahan seni.

Oleh: Fairuz Zaidan
Sumber: BHarian [2013/03/23]

3 comments:

Dayang Deno berkata...

wah cantiknya!!!!!! :)

Unknown berkata...

warna juga melambangkan sikap personaliti kita...

PiNkYCaT berkata...

wah cantik!
teringin nak ade lukisan potret muke diri sendiri...hahaha;p