04 Julai 2014

Mamluk Tentera Islam Terhebat



PERANAN dan pengaruh pasukan tentera dalam pembinaan dan pembentukan sesebuah tamadun atau kerajaan adalah sesuatu yang sukar dinafikan.

Mereka menjadi tulang belakang dalam memenuhi impian atau cita-cita setiap pemerintah atau kerajaan, sama ada yang wujud pada zaman dahulu atau masa kini.

Sebab itulah, nama pasukan tentera turut menjadi sebahagian daripada sejarah sesebuah negara atau tamadun yang wujud suatu masa dahulu.

Islam sendiri turut mempunyai beberapa pasukan tentera yang amat terkenal dengan sifat keberanian dan kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi, khususnya pada zaman kegemilangan Islam dahulu.

Antaranya adalah tentera Mameluk atau dalam bahasa Arab dipanggil Mamluk (tunggal) adalah sekumpulan anggota tentera yang memeluk Islam dan berkhidmat untuk khalifah Islam, termasuk Kesultanan Ayyubi pada abad pertengahan.


Mereka bukan hanya menjadi pasukan tentera yang paling berkuasa, malah pernah mendirikan Kesultanan Mamluk di Mesir.

Sejarah pasukan ketenteraan Mamluk bermula pada zaman Abbasiyyah pada abad ke-9 apabila Bani Abbasiyyah merekrut anggota tentera itu dari kawasan Kaukasus dan Laut Hitam yang mereka takluki.

Keistimewaan tentera Mamluk itu ialah mereka tidak mempunyai hubungan dengan golongan bangsawan atau pemerintah lain. Mereka juga cukup setia kepada syeikh, suku dan juga bangsawan yang mengupah mereka.

Tentera Mamluk selalu dikerahkan untuk menyelesaikan perselisihan antara suku setempat. Pemerintah setempat seperti Amir juga mempunyai pasukan Mamluk sendiri tetapi lebih kecil saiznya dibandingkan pasukan Mamluk milik Khalifah atau Sultan.

Daripada segi latihan, setelah memeluk Islam, seorang Mamluk akan dilatih sebagai tentera berkuda. Mereka juga perlu mematuhi furisiyyah iaitu satu peraturan perilaku seorang tentera yang menekankan nilai-nilai seperti keberanian dan kemurahan hati.

Furisiyyah itu turut mengandungi doktrin mengenai taktik perang berkuda, menunggang kuda, memanah dan juga kemahiran merawat luka dan kecederaan.

Disebabkan tentera Mamluk itu hidup di dalam komuniti mereka sendiri, maka masa lapang mereka diisi dengan latihan memanah dan juga kemahiran bertempur.

Antara sejarah kegemilangan tentera Mamluk itu adalah menjadi tulang belakang kepada kejayaan Salahuddin Al-Ayubi menakluk Jerusalem dan membebaskan Baitul Maqdis setelah kota suci ketiga Islam itu jatuh ke tangan tentera kafir dalam Perang Salib. Namun kejayaan itu mampu bertahan selama 760 tahun.

Di samping itu, kehebatan tentera Janissary turut tidak kurang hebat dan menjadi sebutan sehingga kini. Pasukan tentera ini dikenali sebagai pasukan tentera Islam yang hebat dan paling disegani. Pasukan infantri itu mula dibentuk oleh Sultan Murad I di zaman Khalifah Bani Seljuk pada abad ke-14.

Tujuan utama pembentukan pasukan itu kerana tentera kerajaan Uthmaniah yang ada, bukan hanya tidak memadai tetapi wujud keraguan terhadap kesetiaan mereka kepada pemerintah.

Pada peringkat awalnya, anggota pasukan itu berasal dari bangsa Eropah Timur yang wilayahnya ditawan oleh kerajaan Uthmaniah di Turki. Tetapi bagi memperkasakan lagi nilai kesetiaan anggota, maka pemerintah telah merekrut dalam kalangan golongan remaja.

Tentera Jannisary itu dibahagi kepada dua pasukan iaitu infantri dan berkuda.

Apa yang menarik, selain dikatakan Janissary adalah angkatan tentera pertama yang menggunakan senapang dalam peperangan di Eropah, tentera tersebut adalah tulang belakang dalam membantu kerajaan Uthmaniah menawan kota Constantinople semasa pemerintahan Byzantine.

Selain itu, ada yang menyatakan bahawa pasukan tentera Jannisary juga turut sama bertempur melawan sekumpulan Dracula dari Wallachia, Transevalnia yang dahagakan darah manusia. Namun, segelintir mengatakan ini sekadar sebuah cerita mitos.

Setelah beberapa abad lamanya tentera Jannisary dikenali sebagai pasukan elit pengawal sultan, akhirnya pada sekitar abad ke-19, pasukan tersebut telah dibubarkan oleh Sultan Mahmud II kerana ada dalam kalangan anggota pasukan Jannisary telah terlibat dalam gerakan rampasan kuasa.

Dalam era peperangan moden dewasa ini pula, nama Mujahidin cukup sinonim dengan Islam. Mujahidin atau orang yang berjuang dalam jihad yang paling dikenali adalah Mujahidin Afghanistan.

Selain itu, nama itu turut dikaitkan dengan peperangan di Bosnia-Herzegovina dan Checnya. (Sumber: www.globalmuslim.web.id)

Susunan HASHNAN ABDULLAH
Sumber Online: Utusan

1 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

salam ramadhan

mungkin tentera ini akan muncul lagi di akhir zaman