PERBEZAAN botol susu diharamkan policarbonate (kanan) dengan botol susu boleh digunakan
Botol susu bayi polikarbonat diharamkan penjualannya berkuat kuasa pada 1 Mac 2012. Botol ini mengandungi bahan Bisphenol A (BPA) yang dikhuatiri boleh mengganggu sistem hormon dan fungsi tubuh bayi serta kanak-kanak.
Sehingga kini tiada bukti saintifik menunjukkan botol susu polikarbonat yang mengandungi BPA selamat untuk golongan berisiko tinggi khususnya bayi dan kanak-kanak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata keputusan Kabinet pada 2 Mac lalu itu bertujuan memberi tempoh pada pihak industri membuat persediaan menukar atau membeli mesin serta menggunakan bahan mentah sesuai bagi memenuhi peraturan baru itu.
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman, berkata tindakan kerajaan mengharamkannya pada tahun depan hanya akan menyebabkan lebih ramai bayi dan kanak-kanak berisiko mendapat pelbagai penyakit.
Kajian terhadap 159 sampel botol susu bayi juga mendapati 85 peratus atau 135 dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 miligram per kilogram.
Kajian Universiti Malaya (UM) pula menunjukkan kadar migrasi sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 darjah celsius berbanding pada suhu bilik 25 darjah celsius. Kadar migrasi merujuk kepada percampuran bahan BPA itu dengan kandungan botol susu berkenaan pada suhu tertentu.
Pengharaman ini telah diambil tindakan oleh beberapa negara antaranya Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand dan Kesatuan Eropah.
Orang ramai yang menggunakan botol susu bayi polikarbonat dinasihatkan mematuhi arahan pengendalian dan mengelak menggunakan air panas secara terus ketika membancuh susu, selain menggunakan peralatan mencuci botol sesuai bagi mengelakkan permukaan dalam botol rosak serta bercalar.
Untuk maklumat lanjut hubungi:
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652/3653/3655
atau Layari laman web www.moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my.
INFO: Bisphenol A (BPA)
- Bahan kimia industri yang digunakan dalam penghasilan botol susu bayi polikarbonat
- Boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh bayi
- Botol susu bayi bebas BPA biasanya dilabel `bebas BPA' pada bahagian bawah botol.
- Botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA bersifat keras dan lutsinar
- Ia boleh dikenal pasti melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi.
- Kod terbabit ialah nombor 7, nombor 7 dan PC, nombor 7 dan `other'
- Alternatif botol susu bayi di pasaran ialah yang diperbuat daripada polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA) dan kaca.
INFO: Panduan pengendalian botol susu bayi polikarbonat:
- Steril botol susu bayi mengikut arahan pengendalian pada label atau yang diberikan oleh pengeluar, jika ada.
- Jika tiada panduan, pengguna perlu merendam botol susu bayi polikarbonat dalam air yang mendidih selama lima hingga 10 minit.
- Elak menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
- Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus lembut bagi mengelakkan permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
- Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan jika ada kesan calar atau rosak, ia perlu diganti.
- Jika tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap enam bulan
Kesan BPA Terhadap Hormon
Hormon merupakan bahan semula jadi yang terhasil di seluruh tubuh kita. Setiap hormon mempunyai fungsi yang unik dan tersendiri. Sebagai contohnya hormon metabolik membantu membakar makanan dan membolehkan makanan digunakan sebagai tenaga. Hormon ini membolehkan tubuh badan kita mendapat tenaga yang diperlukan. Jika hormon metabolik rendah maka seseorang itu pasti mempunyai tenaga yang rendah, cepat letih fizikalnya namun mampu bertahan dengan tenaga yang dihasilkan oleh hormon stres.
Hormon bertindak dengan stimulasi atau pun dikenali sebagai signal hormon. Apabila kita makan makanan yang banyak gula, kelenjar hormon insulin akan mengesan paras gula yang tinggi. Signal yang dikesan adalah paras gula. Kelenjar hormon akan merembes hormon insulin yang kemudiannya menukarkan gula kepada tenaga. Tenaga ini akan digunakan oleh tubuh badan kita. Apabila kita berpuasa paras gula menjadi rendah dan ini dianggap sebagai signal oleh kelenjar hormon glucagon. Ia mengeluarkan hormon glucagon bagi menukar lemak kepada gula. Ini mewujudkan keseimbangan.
Hormon tiroid bekerja mengurai lemak dan memastikan tubuh tidak menyimpan lemak yang berlebihan. Namun apabila rosak ia tidak mampu lagi memberi respons kepada signal daripada tubuh.
Selain dari tubuh dan makanan, hormon juga saling bertindak antara satu sama lain. Kehadiran hormon cortisol (hormon stres) akan diseimbangkan dengan hormon tiroid (metabolisme). Begitu juga hormon-hormon lain yang berinteraksi dengan baik bagi menjamin kesihatan tubuh badan.
Growth Hormone (GH) misalnya berfungsi dalam tumbesaran tubuh badan bayi kepada dewasa. Dalam tubuh dewasa pula GH berfungsi mengekalkan kesegaran dan ketegapan tubuh. Seseorang yang kurang GH akan merasa lesu, kurang gembira dan tubuhnya mula mengecut, dengan kata lain proses penuaan menjadi lebih cepat.
Melatonin pula yang dihasilkan kelenjar pineal merupakan anti oksidan yang hebat bagi semua sel tubuh kita. Melatonin juga memberikan tidur yang lena. Jika kelenjar hormon melatonin gagal berfungsi dengan baik maka seseorang itu akan mendapat insomnia.
Polikarbonat mempunyai struktur kimia yang mampu menyamai struktur hormon dalam tubuh kita. Struktur yang sebegini bebas bergerak menuju ke arah kelenjar hormon kita membuatkan kilang hormon menjadi keliru. Dengan kata lain kehadirannya menyerupai hormon manusia dan membuatkan kepekaan kelenjar hormone kita menjadi berkurangan. Dengan kehadiran bahan polikarbonat yang kerap dan begitu banyak akhirnya akan merosakkan kelenjar hormon. Kerosakan membuatkan ia gagal mengeluarkan hormon yang diperlukan dengan tepat.
Kerosakan hormon akan jelas kelihatan sewaktu alam dewasa dan jarang sekali dilihat sewaktu kecil. Bayi yang diserang kerosakan hormon akan membesar menjadi orang dewasa yang obes atau pun mempunyai pelbagai masalah kesihatan yang lain.
Di dalam keghairahan kita mengejar arus kemajuan dan mengamalkan pembungkus plastik setiap hari wujud pula masalah baru yang menjadi misteri kepada kita. Statistik menunjukkan jumlah peningkatan dalam penyakit kanser, jantung, obesiti, buah pinggang dan lain-lain.
Sumber: Utusan Malaysia
1 comments:
bagus la blog ni, blh tambah info..:) i dah jd follower,hehehe...
Catat Ulasan