21 November 2012

Pengguna Berhak Tolak Barang Mahal


"Beli.... Tak Beli .... Beli.... Tak Beli .... Beli.... Tak Beli ...." kata hatiku bermonolog.
(Gambar Hiasan)

Pada tahun 2006, media ada melaporkan tentang bagaimana seorang eksekutif dari Putrajaya yang membayar RM45 untuk gulai kepala ikan tongkol yang dibeli dari sebuah gerai di Chendering dekat Kuala Terengganu.

Eksekutif berkenaan, yang merasakan lauk yang dibelinya itu terlalu mahal, membawa perkara tersebut kepada pihak akhbar. Berita tersebut mendapat perhatian umum dan menerima respon daripada pihak berkuasa dan orang ramai.

Pihak berkuasa bertindak pantas dengan mendenda penjual berkenaan RM1,000 kerana tidak mempamerkan tanda harga untuk makanan jualannya.


PENGGUNA ADA KATA PUTUS

Menurut aktivis sosial Dr Ramlan Sadiman, walau semahal mana barang yang dijual, pengguna yang masih mempunyai kata putus.

"Jika mereka merasakan barang itu mahal, janganlah beli.

"Pengguna harus bertanya diri sendiri sama ada berbaloi atau tidak untuk membeli barangan berkenaan pada harga yang tinggi."

Pengguna hendaklah berupaya menyatakan pendirian mereka dan tidak mudah menerima apa sahaja yang diberikan kepada mereka, jelas aktivis konsumer tersebut.

Beliau menasihati pengguna supaya membuat keputusan dengan bijak bagi mengelak daripada membuat 'kecoh' setelah merasakan diri terpedaya sedangkan kemungkinannya telah pun dirasai dari awal.

"Secara logik, apabila seseorang merasakan harga sesuatu barang itu mahal, dia boleh menolaknya dengan baik".

TAWARAN, PENERIMAAN

Menurut Dr Ramlan, amalan membandingkan harga sebelum membeli adalah satu perkara yang baik.

"Lakukan perkara itu sama ada di pasar biasa, pasar tani atau di pasar malam. Bandingkan harga sebelum membeli," katanya.

Bagaimana pula dengan peniaga yang tidak berhemah?

"Sedarkan mereka, pulaukan kedai-kedai yang meletakkan harga yang keterlaluan bagi barang dan perkhidmatan yang mereka tawarkan," katanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan seringkali menghebahkan perkara itu tetapi masih ramai pengguna yang tidak menghiraukannya.

Bolehkah peniaga dipersalahkan?

"Tidak semestinya. Pengguna juga harus dipersalahkan. Dalam apa jua urusan jual-beli, sudah semestinya ada penawaran dan penerimaan".

Dr Ramlan menyatakan keadaan itu boleh disifatkan sebagai "tepuk dada tanya selera" di mana pengguna tidak harus menyalahkan orang lain jika mereka membuat keputusan yang tidak tepat.

UNDANG-UNDANG KONTRAK

Katanya, tidak menjadi persoalan sama ada sesuatu barang itu mahal atau tidak sekiranya pelanggan menerima tawaran dan membeli barang tersebut kerana di bawah undang-undang kontrak, satu perjanjian jual-beli dianggap telah dimeterai walaupun dengan secara lisan.

"Sekiranya pelanggan tidak dimaklumkan mengenai harganya terlebih dahulu dan mendapati kemudian bahawa barang itu mahal, beliau mempunyai hak untuk mengembalikannya dan menuntut semula wangnya.

"Ini disebabkan beliau telah mendapat gambaran salah mengenai harga tersebut," kata Dr Ramlan.

Jangan lupa, para pengguna mempunyai kata putus.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA [16/11/2012]

1 comments: