26 Mac 2013

Sos Ikan Bilis @ Budu


Budu, Makanan 'Pembuka Selera' Tradisional Dari Pantai Timur

Malaysia memang terkenal dengan pelbagai jenis hidangan makanan segera di samping kehadiran restoran dan kedai makan yang begitu banyak dan 'kontemporari'.

Namun begitu, masyarakat tidak pula lupa akan beberapa 'pembuka selera' tradisional yang datang dari negeri-negeri tertentu baik Semenanjung maupun Sabah atau Sarawak.

Jika Sarawak terkenal dengan ikan terubok masin, Melaka pula popular dengan cencalok, Kedah pula begitu sinonim dengan ikan pekasam.

Perak sememangnya terkenal dengan tempoyak dan belacan pula unggul di Pulau Pinang. Maka budu juga tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat negeri Kelantan.


Budu, kadangkala dipanggil 'sos ikan bilis' untuk penyesuaian dengan pasaran, adalah satu pembuka selera tradisional. Namun bukan semua orang Kelantan minat akan makanan ini, kerana mungkin tidak tahan dengan baunya atau 'geli' dengan cara pembuatannya.

Tetapi kini pengeluar budu mula menapak dan membesarkan pasaran. Ada juga beberapa jenama yang menggunakan label 'sos ikan bilis' bagi menyenangkan aspek pemasaran kerana ada juga yang janggal dengan perkataan 'budu'.

Persoalannya, adakah budu mempunyai khasiat?

Menurut beberapa kajian, budu mengandungi 'glutathion' yang bertindak sebagai antioksidan yang boleh mempertingkatkan daya tahan tubuh (imuniti) terhadap beberapa penyakit.

RADIKAL BEBAS

Menurut pengamal perubatan yang mahu dikenali sebagai Dr Syed Abu Bakar, kandungan budu dipercayai boleh melawan elemen radikal bebas dalam badan dan dipercayai mampu menghalang proses penuaan.

"Budu didapati berpotensi untuk melawan radikal bebas dan dipercayai mampu menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis.

"Kajian juga mendapati budu boleh menurunkan kadar kolestrol darah," katanya.

Jelas Dr Syed Abu Bakar lagi, budu dipercayai mampu meningkatkan 'intelligence quotient' (IQ) kerana ia dikatakan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah.

"Budu adalah sumber vitamin B yang paling banyak. Budu yang dibuat daripada ikan bilis juga penyumbang utama vitamin B12 di mana vitamin ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan dan daging lain.

"Vitamin B12 perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitamin ini boleh terjadinya anemia, sakit perut dan berat badan menurun," tambah beliau.

ALERGI

Tetapi bagi mereka yang mempunyai alergi (alahan) kepada makanan laut, eloklah menghindari daripada makan budu kerana kandungan utama budu adalah ikan bilis iaitu sejenis makanan laut yang boleh menimbulkan alahan dan rasa gatal di kulit individu tertentu, jelas Dr Syed Abu Bakar.

"Begitu juga mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi, budu yang agak masin mempunyai kandungan garam yang agak tinggi dan boleh menaikkan tekanan darah.

"Ia juga tidak sesuai bagi mereka yang menghidapi 'gout' (kandungan asid urik yang tinggi dalam badan) selain mereka yang mengalami masalah endokrin seperti diabetis, barah payudara, keguguran rambut yang kronik dan resdung (gatal-gatal di hidung dan muka)," kata pengamal perubatan itu.


Nasi Kerabu perlu digaul sebati dengan budu sebelum dimakan.

PENGGEMAR BUDU

Menurut seorang penggemar budu 'tegar' yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli, budu adalah makanan yang sinonim dengan masyarakat Kelantan.

Menurut Zulkifli, budu ialah sejenis pekasam yang dibuat menggunakan ikan bilis. Ia adalah makanan tradisional yang terkenal di Malaysia dan dipasarkan di Kelantan, Terengganu dan Selatan Thailand.

"Budu boleh dijadikan sebagai pembuka selera. Ia adalah satu masakan sampingan dan boleh dimakan dengan nasi putih, nasi kerabu (juga makanan tradisional) atau nasi ulam," kata beliau.

Zulkifli, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, berkata, budu dahulunya adalah satu perusahaan kampung atau 'cottage industry'.

"Dulu budu hanya dibuat secara kecil-kecilan, menggunakan tempayan. Tetapi kini proses membuat budu tergolong dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan memberi pulangan yang baik kepada pengusaha industri ini," kata beliau.

INDUSTRI BUDU

Kata Zulkifli lagi, dulunya industri membuat budu hanya tertumpu kepada beberapa lokasi.

"Bahan-bahan mentah untuk budu seperti ikan bilis, garam dan ragi ditutup rapat dan disimpan dalam tempayan untuk satu masa tertentu. Di Pasir Mas, ada satu tempat namanya Pengkalan Batu, tetapi kerana ia begitu terkenal dengan penghasilan budu, masyarakat setempat memanggilnya sebagai Pengkalan Budu.

"Begitu juga di Benta, Pahang. Ada satu tempat yang popular dengan produksi budu sehingga orang tempatan menggelarkan lokasi itu sebagai kampung Budu," tambah beliau.

Budu diproses daripada ikan bilis yang diperam sehingga hancur. Ia biasanya dihasilkan oleh syarikat-syarikat perusahaan kecil.

"Dulu budu hanya dijual di pasar dan hanya didapati dalam tempayan. Kini ia dijual di kedai-kedai runcit dalam botol kecil bahkan sekarang terdapat di pasaraya terkenal, malah kini dipaket untuk memudahkan penggemar budu membawa ke mana sahaja.

"Budu boleh dihidangkan begitu sahaja atau dicampurkan dengan bahan makanan lain seperti cili, mempelam dan air perahan limau nipis".

Selain sumber protin yang berkualiti tinggi, budu turut dikenali sebagai sumber serat yang baik. Kandungan serat dalam budu mampu antara lapan hingga 10 peratus bagi setiap 100 gram. Budu dikatakan juga boleh menurunkan kadar kolestrol kerana kandungan seratnya yang agak tinggi.

Menurut satu ujian, pengambilan budu sebanyak 150 gram sehari selama dua minggu dapat menurunkan kadar kolestrol.

MAKANAN KUNO

Dahulunya budu dianggap makanan kuno dan hanya dimakan oleh golongan yang tidak berkemampuan di luar bandar.

Berbeza sekarang, terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, tidak lengkap jika restoran yang dimiliki oleh orang Kelantan atau peniaga dari Pantai Timur tidak menghidangkan hidangan budu.

Malah budu juga kini semakin memikat hati pelanggan di resoran-restoran yang menghidangkan sajian 'selera dari pantai timur'. Namun ada juga yang tidak menggemari makanan ini.

Rata-ratanya ada juga mereka tidak menyukai bau budu yang agak kurang menyenangkan. Akan tetapi ramai yang berjaya menggemari budu setelah mencuba pertama kali, 'tak kenal maka tak cinta'.

Selain ulaman, budu enak dimakan bersama ikan bakar, telur rebus, nasi kepal dan sebagainya mengikut kreativiti selera masing-masing. Pendek kata semua makanan hendak dicicah budu.

Uniknya budu, satu hidangan dikongsi dan dicicah bersama keluarga atau rakan-rakan dalam satu bekas. Ini dapat memperkukuhkan silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dan muda.

Dari segi proses penghasilan budu pula, sudah pasti makanan ini bebas daripada bahan kimia.

Saranan Zulkifli, ibu bapa perlu mendedahkan makanan tradisional masyarakat Malaysia ini kepada anak dari usia kecil agar terus menjadi makanan kegemaran generasi akan datang.

Pada realitinya setinggi mana jawatan yang disandang atau dikenali ramai seperti orang kenamaan, artis dan seumpamanya, mereka tidak pernah lupa produk tempatan yang dicipta oleh nenek moyang mereka dahulu.

Oleh Maznah Abu Bakar
Sumber: BERNAMA

5 comments:

Cik Nor berkata...

sdap oo..:)

Karen Monica berkata...

budu ni memang sinonim dengan orang pantai timur kan..Tapi sebagai rakyat malaysia, memang rasa rugi je kalau kita tak pernah rasa 'pembuka selera' dari negeri negeri lain :)

Unknown berkata...

sedap sedap sedap! dah lama tak makan.. tunggu laa cuti sem ni ! :D

Jahirah berkata...

saya org perak pun mkn budu sejak kecik...hehee

Karya Hati berkata...

tak pernah makan..heeee