30 April 2011

Selamat Pengantin Baru William dan Kate

Upacara perkahwinan William dan Kate dikatakan Istiadat 'Wedding Of The Year'. Setiap orang di merata pelusuk dunia memperkatakan tentang majlis yang diadakan dalam aturcara yang gilang-gemilang ini. Upacara diraja penuh gilang gemilang ini telah menarik tumpuan dua bilion penonton di seluruh dunia.

Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi beberapa maklumat dengan semua pembaca berkaitan gelaran-gelaran yang wujud di Istana Buckingham dan telah diterima oleh pasangan pengantin diraja tersebut.



Upacara Perkahwinan Putera William (William Arthur Philip Louis), 28, Duke dari Cambridge dan Catherine "Kate" Middleton, 29 telah berlangsung di Westminster Abbey pada hari Jumaat, 29 April 2011. Putera William, yang berada dalam baris kedua pengganti pada Ratu Elizabeth II, bertemu Middleton buat kali pertama pada 2001, semasa mereka sama-sama menuntut di Universiti St Andrews.

Mereka bertunang pada 20 Oktober 2010, dan pertunangan mereka dimaklumkan kepada umum pada 16 November 2010. Middleton, 29, merupakan ‘rakyat biasa’ pertama yang berkahwin dengan seorang pewaris takhta sejak 350 tahun lalu. (Rujuk: en.wikipedia.org)




Pada tarikh tersebut juga Putera William dan Kate Middleton telah menerima hadiah perkahwinan diraja pertama mereka daripada Ratu Elizabeth iaitu gelaran Duke and Duchess of Cambridge.

Istana Buckingham berkata, bahawa William kini secara rasmi bergelar His Royal Highness The Duke of Cambridge manakala isterinya, Catherine Middleton bergelar Her Royal Highness The Duchess of Cambridge.



Kenyataan istana menyebut bahawa William dinamakan sebagai Earl of Strathearn dan Baron Carrickfergus, manakala Middleton juga menerima gelaran yang sama sebagai Countess of Strathearn dan Baroness Carrickfergus.

Strathearn mengaitkan William dan Middleton dengan Scotland di mana pasangan itu bertemu dan saling jatuh cinta. Baron Carrickfergus adalah gelaran bangsawan yang merujuk kepada satu daripada bandar tertua di utara Ireland.



Ketiga-tiga gelaran berkenaan dikurniakan nenda William, Ratu Elizabeth II sebagai menandakan perkahwinan putera berkenaan.

Disebabkan Middleton tidak dilahirkan dikalangan keluarga diraja, beliau tidak akan secara rasmi menjadi Puteri Catherine walaupun masyarakat umum akan memilih untuk memanggil beliau demikian atau mungkin “Puteri Kate”, menolak protokol.



Putera William, 28, pewaris kedua takhta British dan Kate Middleton, 29, sah bergelar suami isteri dalam majlis yang diadakan di Westminster Abbey dengan disaksikan 2,000 tetamu di gereja berkenaan selain dua bilion penonton dari seluruh dunia yang menyaksikan acara yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan internet.

Sementara itu di luar Westminster Abbey, orang ramai dari seluruh dunia mula memenuhi kawasan berkenaan sejak malam sebelumnya dengan harapan untuk melihat lebih dekat majlis penuh bersejarah itu. Seramai 5,000 anggota polis ditempatkan di Westminster Abbey bagi mengawal keselamatan dan menghalang kejadian tidak diingini. (Rujuk: BHarian)

Selepas majlis perkahwinan di Westminster Abbey, pasangan Duke dan Duchess of Cambridge itu diarak menaiki kereta kuda State Landauke 1902 yang pernah digunakan Putera Charles dan Puteri Diana semasa perkahwinan mereka ke The Mall untuk melambai kepada rakyat dari balkoni dan ke Istana Buckingham bagi majlis resepsi dihadiri 650 tetamu.

Majlis perkahwinan itu turut dihadiri keluarga diraja dunia antaranya Putera Albert II dari Monaco bersama Charlene Wittstock dan Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri, Tuanku Nur Zahirah serta selebriti terkenal seperti David Beckham dan isterinya, Victoria. (Rujuk: Utusan Online)

Mari Berkunjung Ke KL International Book Fair 2011



KL International Book Fair (KLIBF 2011) berlangsung di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur dari Jumaat, 22 April 2011 hingga Ahad, 1 May 2011. Dibuka dari 10.00am hingga 8.00pm.

Hari ini aku dan rakan-rakan berkunjung ke pesta tersebut untuk sama-sama berasak-asak melihat, memilih dan seterusnya membeli buku. Kami bertolak dari Temerloh jam 8.00 pagi.




Aku dan rakan berada di PWTC dari jam 10.00 pagi hingga 3.30 petang. Sambutan orang ramai terhadap KLIBF amat menggalakkan. Boleh dikatakan setiap inci ruang dewan pameran diisi dengan manusia. Bergerak dalam keadaan pengunjung yang begitu ramai menyebabkan langkah kami di situ amat perlahan sekali.

Aku percaya orang ramai mengambil kesempatan mengisi cuti hujung minggu mereka untuk berkunjung ke sini. Pastinya bilangan pengunjung akan lebih ramai pada hari minggu dan pada hari akhir pameran yang jatuh pada cuti sambutan hari pekerja.



Tahniah kepada rakyat Malaysia. Sambutan sedemikian meriah menunjukkan rakyat Malaysia cinta kepada dunia buku dan mempunyai minat membaca yang begitu mendalam. Kepada yang belum berkesempatan untuk berkunjung ke KLIBF, anda mempunyai masa 2 hari lagi berbuat demikian.

Aktiviti memilih buku memang mengasyikkan di sini. Terutama bagi kami yang kaki novel. Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Kami melangkah keluar apabila perut tidak henti-henti menjerit mendendangkan irama dongdang sayang minta diisi.

Aku sempat bertemu dengan penulis berikut untuk menandatangani buku karya mereka yang aku beli. Mereka ialah Horhayati Berahim, Dr. HM Tuah Iskandar dan Ramlee Awang Murshid.

29 April 2011

Notis Saman Lalulintas Beserta Gambar Kenderaan


"Adik.. Surat ni nama dia surat saman.. Adik kena saman sebab tak pakai topi keledar dan menunggang tanpa lesen.. Balik nanti, bagi surat ni kat abah... Suruh abah bayar ya..."
- Gambar Hiasan.


Polis Diraja Malaysia akan menghantar notis saman berserta gambar mana-mana kenderaan yang didapati melanggar undang-undang jalan raya di kawasan yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mulai 1 Mei 2011.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah itu bagi mengemas kini cara saman dikeluarkan supaya lebih tepat dan berkesan.

Lambat Hamil Dapat Duit?

Bagi yang tidak menginginkan zuriat, berita sedemikian pastinya suatu berita yang dianggap rezeki...



Di sesetengah negara terutamanya negara maju, rakyatnya mempunyai prinsip tidak mahu mempunyai ikatan perkahwinan, melambat-lambatkan hasrat untuk memiliki zuriat atau sesetengahnya tidak mahu mempunyai anak. Kerajaan di negara Jepun, Kanada dan Australia misalnya terpaksa menawarkan ‘bonus bayi’ bagi menggalakkan penduduknya mendapatkan anak.

Bagaimanapun berlainan pula dengan satu kawasan di India. Pasangan yang melewat-lewatkan keinginan untuk mendapatkan zuriat pula ditawarkan suatu bonus.




Negeri Maharashtra dilaporkan membayar kepada pasangan baru berkahwin apa yang dipanggil ‘bonus bulan madu’ untuk menangguhkan permulaan sebuah keluarga untuk memperolehi zuriat.

Tawaran ini bertujuan memperlahankan pertambahan penduduk dan memperbaiki kesihatan wanita.Tawaran berupa wang tunai 5,000 rupee (RM333) jika terus tidak ada anak dalam tempoh dua tahun selepas kahwin. Jika bertahan setahun lagi, mereka akan menerima tambahan 2,500 rupee. Skim berkenaan adalah secara sukarela.

Bumber: BHarian

Untuk Renungan ....

Melalui perkahwinan, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai menurut tuntutan Ilahi, dapat memenuhi tuntutan biologi. Malah tujuan perkahwinan juga adalah untuk mendapatkan zuriat melalui ikatan sah di sisi agama.

Firman Allah SWT dalam surah (asy-Syura: 49-50) yang bermaksud :

“Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

“Ya Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menggirangkan hati kami, dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-Furqan ayat 74)

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.” ayat 38, surah Ali-Imran.

“Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.” ayat 89, surah al-Anbiya.

Kredit: Ustazah Siti Nor Bahyah

28 April 2011

Terselamat Dalam Pukulan Ombak Gergasi

Dengan Izin Allah Mereka Terselamat...



CASTLEROCK, Ireland Utara - Seorang jurugambar, Tam Mullen berjaya merakamkan sekeping gambar yang menunjukkan dua orang gadis memeluk erat sebatang tiang lampu bagi mengelak daripada dihanyutkan ombak besar yang muncul secara tiba-tiba dari laut di sebuah jeti di sini pada Isnin 25 April, 2011.


Mullen daripada Belfast yang kebetulan berada berhampiran kawasan jeti itu sempat merakamkan aksi dua gadis yang ketakutan dan berpeluk di sebatang tiang lampu ketika ombak besar menghampiri mereka.

Dua gadis itu bernasib baik kerana mereka tidak dihanyutkan ke laut.



Mereka kemudian dilihat bergegas meninggalkan jeti tersebut dalam keadaan gembira kerana terselamat.

p/s; Ajal dan Maut ketentuan Allah...

Sumber: http://www.dailymail.co.uk dan Kosmo.

Jangan Sombong Dengan Takdir (Bhgn Akhir)

Sambungan daripada,
Jangan Sombong Dengan Takdir (Bhgn 1)



Apa Khabar Iman Anda?

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

27 April 2011

Bangku Kosong Banyak Beri Tips Berguna Kepada Blogger

Inilah masanya yang sesuai untuk saya mempromot blog Bangku Kosong.



Sejak saya follow Bangku Kosong, saya terus letak Link Bangku Kosong di Bloglist saya. Saya lakukan ini untuk memastikan saya sentiasa mendapat maklumat yang terkini daripada entrinya.

Kadang-kala apabila berkesempatan, ada juga saya tinggalkan komen.

Di sini saya tidak akan menulis panjang berkaitan dengan beliau. Cuma di sini saya kongsikan link-link ke tajuk-tajuk entri yang saya kira amat berguna dijadikan sebagai rujukan oleh para blogger.


Antara entri-entri yang saya suka ialah:

1. Petua Mendapatkan Trafik - Cara SEO dan Komen

2. Tips Letak Iklan Dalam Blog

3. Petua Untuk Elak Tulis Entri Kontroversi

4. Mengapa Perlu Syok Sendiri Dengan Blog Sendiri?

5. Resepi Untuk Blog Terus Konsisten Dengan Pembaca

6. Bila Blog Saya Jadi Bahan Bukti - Masuk Meeting Projek Mega Nasional.

Ada benyak lagi senarai entri yang dikatakan berguna. Kalau anda rajin, sila semak sendiri. Kalau anda berpuas hati dengan blog Bangku Kosong, sila follow beramai-ramai.

Berakhirnya Operasi Kilang Mesin Taip.

Era keagungan Mesin Taip dah lama berlalu. Bagaimana pun terdapat sebuah kilang di India terus menghasilkannya. Bagaimanapun akhirnya syarikat ini tunduk kepada kehendak pengguna semasa dan perkembangan teknologi terkini.



MUMBAI, India, 26 April, 2011 - Syarikat Godrej and Boyce yang menjadi pengeluar mesin taip terakhir di dunia terpaksa menghentikan operasinya. Kini hanya terdapat sebanyak 200 buah mesin taip dalam stok syarikat tersebut. Majoritinya terdiri daripada model dengan aksara bahasa Arab.

Penutupan kilang itu adalah akibat permintaan terhadap mesin taip semakin berkurangan sejak 10 tahun lalu selepas orang ramai beralih kepada komputer.


"Sehingga tahun 2009, kami hanya menghasilkan 10,000 hingga 12,000 mesin taip setahun. Mungkin sekarang adalah waktu terbaik buat pengguna mesin taip untuk mendapatkan produk terakhir kami." kata Pengurus Besar Godrej and Boyce.

Syarikat itu memulakan perniagaan sejak tahun 1950-an selepas bekas Perdana Menteri, Jawaharlal Nehru menganggap mesin taip sebagai simbol pengembangan kemerdekaan dan industri di India.

Pada awal 1990-an, Godrej and Boyce menjual 50,000 unit mesin taip setiap tahun. Tetapi pada tahun lalu, ia hanya dapat menjual 800 unit sahaja. - Agensi

Sumber: Kosmo.

SEJARAH PENCIPTAAN MESIN TAIP



Pada tahun 1714 Henry Mill mendapat patent di Britain untuk mesin yang berdasarkan paten kelihatannya menyerupai mesin taip. Pemaju mesin taip awal yang lain termasuk Pellegrino Turri(1808) yang turut mereka kertas karbon. Kebanyakan jenis mesin awal, termasuk Turri, dimajukan bagi membenarkan orang buta untuk menulis.



Semenjak 1829 hingga 1870, banyak mesin taip atau pencetak dipaten oleh pencipta di Europah dan Amerika, tetapi tiada yang dihasilkan untuk dijual. Sebagai contoh Chirographer yang dicipta oleh Charles Thurber 1845.



Mesin taip sebenar telah dicipta pada tahun 1864 oleh Peter Mitterhofer tetapi tidak pernah dihasilkan untuk dijual. Pada tahun 1865 Rev.Malling Hansen dari Denmark menghasilkan Hansen Writing Ball untuk dijual pada tahun 1870 dan merupakan mesin taip pertama yang dijual secara komersial.



Ia amat berjaya di Europah dan digunakan di pejabat di London sehingga 1909. Tambahan lagi, Hansen menggunakan (solenoid escapement) untuk mengembalikan carriage pada sebahagian model mesin taipnya dan beliaulah yang bertanggungjawab untuk mesin taip "elektrik" yang pertama.

Sumber: ms.wikipedia.org

Jangan Sombong Dengan Takdir (Bhgn 1)

Artikel ini sangat panjang. Untuk membolehkan kita membacanya dengan teliti di samping menghayati peringatan yang disampaikan oleh penulis, maka saya bahagikan artikel ini kepada dua bahagian.

Berikut ini adalah pesan penulis:

Selalu saya katakan, saya seorang daie yang sedang bermujahadah – berusaha membaiki diri dan usaha itu dikongsi untuk membaiki orang lain. Di kesempatan ini, saya hulurkan tulisan yang saya cuba alirkan dari hati. Dengan doa dan harapan agar bergunalah untuk dijadikan panduan (ataupun sempadan) buat pembaca.

Terimalah kata pengukuhan dan pencerahan ini...

Jangan Sombong Dengan Takdir




Jika hendak dikirakan 'beriman' dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al-Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan.

26 April 2011

Fikirkan Tentang Suatu Pemandangan (Bhgn 2)

Entri ini adalah lanjutan daripada satu aktiviti dalam entri saya yang bertajuk Fikirkan Tentang Suatu Pemandangan.

Pasti anda tertunggu-tunggu apakah keterangan yang ingin saya sampaikan dalam sambungannya ini. Pastinya anda rasa macam ada dapatan penting daripada suatu kajian sahaja.



Sebenarnya saya dan rakan pernah diuji dengan aktiviti ini. Memang 100% daripada kami memikirkan satu pemandangan yang serupa. Dalam fikiran kami pemandangan mesti tepi pantai, tepi sungai atau mesti di sawah padi. Dalam pemandangan mesti ada gunung, pokok kelapa, sedikit awan, matahari yang tersembunyi di balik gunung atau awan dan burung.

Bukan saya, 'kami' dan anda sahaja yang berfikiran demikian. Cuba anda Google imej dengan perkataan 'lukisan pemandangan'. Apakah hasil daripada pencarian anda?

Mengapa kita tidak melukis pemandangan suasana di pasar malam, suasana di pasar raya, suasana di stesen komuter, suasana di stesen bas, pemandangan di sebuah bandaraya, pemandangan suasana kerja di dalam pejabat, pemandangan di dewan peperiksaan, pemandangan orang bersolat di dalam masjid dan sebagainya?

Makanan Yang Tidak Boleh Di Jual Di Kantin

Kajian yang mengatakan 60% daripada jumlah pengidap penyakit tidak berjangkit adalah remaja obesiti berusia bawah 18 tahun (Rujuk: Sini)

Berikutan itu Kementerian Kesihatan sedang merangka Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah.



Makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan 'tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan Mei 2011.

Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu adalah berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.




Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.

Cadangan penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat di kalangan rakyat, terutama kanak-kanak. Ia langkah mencegah peringkat awal,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti.

Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah.

Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar.

Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata amalan merekodkan BMI diamalkan negara maju seperti Amerika Syarikat seawal kanak-kanak berusia dua tahun bagi membolehkan mereka dibimbing dengan amalan pemakanan dan aktiviti fizikal sihat.

“Obesiti sebenarnya disebabkan pelbagai punca makanan, namun peraturan baru itu adalah permulaan baik dalam memastikan pelajar mendapat makanan sihat dan seimbang di sekolah sebelum ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memastikan amalan baik diteruskan,” katanya.

Kajian menunjukkan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun meningkat daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007. Peningkatan dikaitkan dengan amalan pemakanan tidak sihat dan aktiviti fizikal tidak aktif, iaitu 76 peratus kanak-kanak didapati menghabiskan sebahagian besar masa dengan menonton televisyen atau duduk di hadapan komputer

Sumber: BHarian.

p/s: Amalkan cara pemakanan yang sihat. Sentiasa dapatkan makanan yang seimbang.

Masa Berkualiti Bersama Keluarga.



Mula-mula sekali aku nak nasihatkan kepada sesiapa yang belum mengisi Borang BE (e-Filing) LHDN sila berbuat demikian sebelum 30 April 2011. Anda ada 5 hari sahaja lagi untuk berbuat demikian. Untuk maklumat lanjut klik sini, untuk cara-cara mengisi Borang BE (e-Filing) online klik sini. Kalau menghadapi kesukaran nak buat sendiri di rumah secara online, lebih baik berkunjung ke LHDN terdekat untuk mendapatkan bantuan. Saya percaya ramai yang tak isi lagi ni, sebab nak tunggu saat-saat akhir....

Sejak semalam aku tidak dapat menumpukan perhatian 100% dalam dunia blog. Aku berblog dalam keadaan tak berkualiti.

Hari ini selepas pulang dari kerja dan solat Asar berjemaah, aku pulang ke rumah. Aku ambil ‘Yaya’ yang sedang melalak menangis. Lalu aku dukung dia agar dia senyap.




Sambil aku mendukung ‘Yaya’ yang berusia 1 tahun itu, aku on laptop dan streamyx. Perkara yang mula mula yang aku cari dan tengok ialah tajuk2 akhbar tempatan.

Selepas hampir setengah jam, semua akhbar online telah aku teliti tajuk-tajuk nya. Aku lihat semua tajuk seolah-olah sama sahaja. Semuanya tak langsung menarik minat aku utk aku ‘copy’ dan dijadikan bahan entri aku. Tapi aku tak putus asa aku cuba satu ‘round’ lagi meneliti tajuk-tajuk akhbar tersebut. Tapi kali ini aku klik tajuk2 tersebut utk aku lihat kandungan beritanya.

Semua kerja-kerja menyemak berita akhbar aku lakukan secara begitu-begitu sahaja tanpa fokus dan penghayatan terhadap isi-isinya. Ini kerana aku lakukan beberapa kerja dalam satu masa. Sambil melayar internet aku buat kerja-kerja lain jugak.

Aku mendokong anak aku ’Yaya’ (dgn aneka ragamnya nak bermanja dengan aku) dengan tangan kiri. Tangan kanan aku pula aku gunakan memegang mouse sambil klik apa-apa yang patut daripada berita akhbar. ‘Yaya’ tak mahu diriba, tak nak botol susu, tak nak makan biskut dan tak nak baring dalam buai. Yang dia nak ialah berada dalam dukungan aku aje.



Disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan anak aku ‘Ami’ yang berumur 3 tahun juga serba tak kena hari ini. Menangis sambil menjerit mintak dimasukkan dalam buai. Selepas beberapa ketika menangis lagi mintak turun daripada buai pulak. Tak lama kemudian melalak menangis pulak lagi mintak dibutkan susu. Isteri aku pun (yang turut terjejas kesihatan akibat cuaca yang panas sekarang ini barangkali), bangun dai pembaringannya lalu buatkan sebotol susu untuknya. Tak lama kemudian menjerit lagi mintak air sirap dalam botol pulak.

Oleh kerana ada 2 orang budak kecik ‘Yaya’ dan ‘Ami’ yang sedang ingin bermanja dalam rumah ini, aku dan isteri aku terpaksa menguruskan dan melayan sorang satu daripada mereka.

Aku perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu entri utk aku publish agar aku dapat ziarah blog2 yg tersenarai dalam bloglist aku. Itu memang disiplin yang aku cuba tanamkan dalam diri aku. Ini kerana aku perlu ada semangat macam Khalis. Khalis boleh buat sampai 5 entri satu hari. Takkan aku satu pon tak boleh.

Tetapi setelah hampir maghrib barulah aku dapat satu bahan sebagai entri. Itu pun aku sediakan bahan tersebut secara susah payah. Aku terpaksa taip ayat-ayat tambahan daripada bahan ‘copy-paste’ aku dengan sebelah tangan sahaja.



Artikel ini dapat aku karang apabila persekitaran aku agak aman. Sebaik aku siap mengarangnya, ‘Ami’ pun terjaga daripada tidurnya lantas membunyikan ‘siren’ sekuat hatinya.

Kerja-kerja ziarah blog yang terdapat dalam bloglist, aku lakukan sambil lalu sahaja. Aku tidak dapat yang menulis shoutbox, aku tak dapat menulis komen. Aku geram jer nak mengomen entri Khalis.

Kecuali aku menulis dalam’ shoutbox’ ‘Cekodok’ yang aku temui secara tak sengaja apabila aku terlihat dalam senarai follower aku ada seorang ‘Anonymous’ yang tak pernah aku tahu kewujudannya sebelum ini. Apabila aku klik profilenya ternyata ‘Anonymous’ itu merupakan ‘Cekodok’ yang telah hampir sebulan menghilang dan 'Cekodok' yang sangat misteri identitinya.

p/S; Blogwalking lagi la tak sempatnya...

25 April 2011

PM Galakkan Rakyat Malaysia Berblog

Ini mungkin berita yang menyentuh hati anda sebagai blogger. PM sangat mengalu-alukan kehadiran dan kewujudan anda dalam dunia penulisan tanpa sempadan ini demi membina kecemerlangan dan kemajuan negara. PM sangat menghargai anda.



Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak takut dengan pandangan penulis blog, sebaliknya mahu menjadi rakan blogger kerana pandangan mereka diperlukan, termasuk kritikan membina untuk bersama-sama membentuk masa depan lebih baik untuk negara dan rakyat.

Perdana Menteri juga percaya hubungan antara blogger dan kerajaan akan menjadi jalinan penting atas dasar saling menghormati dengan kedua-dua pihak boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sehingga langsung tidak boleh menerima pandangan orang lain.




“Bagaimanapun, harus ada batas supaya tidak menggunakan ruang siber untuk menipu atau menyatakan separuh kebenaran. Justeru, mesti ada batasan.

“Jika anda bekerja dalam lingkungan berkenaan (menulis atau memberitahu perkara yang benar dan betul), saya percaya blogger akan memainkan peranan amat penting dalam membentuk masa depan lebih baik untuk Malaysia dan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucaptama pada Persidangan Blogger Malaysia-Rantau ASEAN yang pertama di Kuala Lumpur, 24 April 2011. Persidangan dua hari itu bertema Blogging Mindfully and Responsibly dan dianjurkan oleh Blog House Malaysia. Pada majlis itu, Dr Mahathir telah diumumkan sebagai Penaung BHM.

Najib berkata, aktiviti blog di Malaysia ialah antara yang paling rancak serta bebas di dunia dan pentadbiran negara kepemimpinannya memberi sepenuh komitmen untuk meneruskan janji Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri dan membangunkan Koridor Raya Multimedia (MSC) bahawa Malaysia tidak akan menapis Internet.

Najib berkata, demokrasi digital adalah suatu yang tidak dapat dielakkan, malah kerajaan percaya Internet adalah enjin untuk pertumbuhan ekonomi, membina masyarakat berilmu dan berupaya merapatkan rakyat melalui penggunaan yang betul.



Sumber: BHarian

p/s: Walaupun blogger bebas menyatakan suara hati dan pendapat mereka di dalam blog masing-masing, tetapi kebebasan pasti ada batasnya. Perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat, isu-isu perkauman, kenyataan yang menyalahi akta hasutan dan suatu yang menjadi rahsia kerajaan semestinya dielakkan daripada perbincangan umum. Hal ini penting demi keamanan negara dan keharmonian masyarakatnya.



Baca juga pengalaman Bangku Kosong dalam entrinya Bila Blog Saya Jadi Bahan Bukti - Masuk Meeting Projek Mega Nasional.

24 April 2011

Lagi Masalah Daripada Facebook

Awal bulan yg lalu berita Berhati-hati Dengan Facebook telah dipaparkan di akhbar tempatan, seterusnya telah dijadikan entri di dalam blog 'copy-paste' ini. Berita tersebut mengisahkan seorang wanita telah 'dibogelkan' oleh seorang rakan Facebook yang baru dikenalinya secara maya.

Hari ini satu lagi masalah penyalah gunaan Facebook didedahkan di dalam akhbar tempatan.



Rakyat Malaysia terutama wanita dinasihatkan supaya menolak permintaan daripada mana-mana lelaki Afrika yang mahu berkenalan menerusi laman sosial Facebook bagi mengelak diperdaya menjadi 'keldai dadah'.


Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, daripada 1,880 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara antara tahun 1991 hingga 31 Mac 2011, seramai 833 orang adalah bersabit kes dadah.



"Mereka terdiri daripada 675 lelaki dan 158 wanita yang ada antaranya terpedaya menjadi keldai dadah selepas berkenalan dengan lelaki warga asing khususnya warga Afrika menerusi laman sosial itu. (Rujuk: Kosmo.)

Kebanyakannya mangsa adalah berasal dari kawasan luar bandar, berusia antara 20 hingga 30 tahun, tiada rekod jenayah dan menganggur atau daripada golongan berpendapatan rendah.

Kes terbaru berlaku Rabu lalu (20 April) membabitkan pelajar kejururawatan kolej swasta di Damansara, Marylyne Sandra Sapat, 22, ditahan pihak berkuasa China kerana menyeludup 100 biji dadah jenis heroin dengan menelannya.

Mangsa dipercayai ditawarkan RM5,000 untuk menyeludup dadah berkenaan oleh rakan Facebook lelaki warga Afrika yang hanya dikenali sebagai Chimezie Michael dalam akaun Facebook. (Rujuk: BHarian)

"Facebook itu tidak ada masalah. Tetapi jika disalahgunakan boleh jadi musuh ketat. Saya minta kalau ada lelaki Afrika ingin berkenalan dalam Facebook, block (halang) sahaja," kata Datuk Richard Riot.

Setiausaha Kerja Penyelidikan dan Pemantauan Program, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Zuriah Abu Bakar, 48, berkata pendapatan berniaga dadah memang lumayan. Sekilogram dadah boleh memberi pulangan sehingga RM1.8 juta kepada pengedarnya.

“Dengan wang sebanyak itu, manusia boleh hilang pertimbangan dan sanggup menjadi keldai dadah,” bicaranya sambil mendedahkan kebanyakan keldai dadah tahu mereka sedang digunakan.

Australia, China, Brazil, Peru, Argentina dan Jepun ialah antara destinasi penyeludupan dadah yang sering dikaitkan dengan gadis rakyat Malaysia.

“Perkara yang membimbangkan adalah hanya satu daripada sepuluh kes rakyat kita ditangkap di luar negara benar-benar diperdaya.

“Selebihnya mereka sedar, tahu dan mengakui tindakan mereka menyeludup dadah ke negara asing,” ulasnya. (Rujuk: Kosmo)

p/s: Berpada-padalah dalam ber'Facebook'. Jadikan berita-berita akhbar yang berkaitan dengannya sebagai peringatan.

Inilah akibatnya jika kehidupan ketika terlalu berpaksikan kepada ganjaran material secara mudah tanpa mahu bersusah payah berusaha. Mangsa yang menjadi 'Keldai Dadah' pastinya begitu terpengaruh dengan tawaran-tawaran menarik material daripada rakan Facebook mereka. Tanpa menyedari niat jahat mereka di sebalik semua tawaran tersebut.

Untuk pengetahuan anda sila baca juga Promosi Maksiat di Facebook & Blog

23 April 2011

Fikirkan Tentang Suatu Pemandangan.

Bila kali terakhir anda melukis?



Saya percaya sebahagian besar daripada kita melukis buat kali terakhir ketika di bangku sekolah. Kecuali kepada mereka yang kerjayanya adalah melukis.

Paling banyak aktiviti melukis kita adalah ketika di sekolah rendah. Apabila guru mata pelajaran tidak hadir ke sekolah kerana cuti atau berkursus, maka guru yang masuk menggantikan guru tersebut akan memberi sehelai kertas. Dan aktivitinya tidak lain dan tidak bukan adalah melukis dan mewarna.

Mari kita buat sedikit aktiviti. Untuk melaksanakan aktiviti ini anda perlukan sehelai kertas dan pastinya sebatang pensil atau pen. Dan kalau rajin lagi sediakan dengan pensil warna sekali.

22 April 2011

Menghindar Daripada Dosa



Antara sifat semulajadi manusia adalah mudah leka, terpedaya dan tunduk kepada keinginan hawa nafsu hingga menyebabkan mudah terjebak melakukan perkara yang melanggar hukum Allah SWT.

Sebagai umat Islam kita dididik supaya sentiasa memelihara diri agar tetap menjadi orang yang beriman dengan mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Oleh itu kita hendaklah menanamkan dalam diri sifat sentiasa takut untuk berbuat dosa kerana akibat dari melanggar perintah Allah seperti tidak bersolat, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat, berjudi, berzina, melakukan rasuah, penipuan dan sebagainya. Kita bukan sahaja mendapat dosa bahkan dibenci oleh Allah.

21 April 2011

Macamana Rupa TV 75 Tahun Dulu?

Ini adalah set televisyen yang telah berusia 75 tahun. Barangkali ini adalah model TV yang pertama diperkenalkan di dunia...



Set televisyen tertua di Britain yang masih berfungsi dengan baik dijual dalam satu lelongan pada harga £16,800 (RM82,950) iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga ramalan.

Set televisyen elektronik jenama Marconi 702 itu yang berharga £99.15 (RM490) dibeli oleh seorang lelaki, G. B. Davis tiga minggu selepas siaran televisyen pertama di Britain dipancarkan di sini, pada tahun 1936.




Ia kini menjadi milik seorang pembeli dari Amerika Syarikat (AS) selepas dia membelinya dalam satu lelongan anjuran Rumah Lelongan Bonhams di sini pada 20 April, 2011.

"Saya pernah mengendalikan lelongan 38 buah televisyen lama sebelum ini dan ini adalah yang terbaik dan ia datang bersama invois asal," kata seorang pakar Bonhams, Laurence Fisher

Set televisyen berusia 75 tahun itu yang dijual oleh keluarga pemilik asalnya memiliki skrin bersaiz 30.48 sentimeter dan berada dalam kotak kayu. - Agensi

Sumber: Kosmo.

p/s: Melalui gambar berikut, kita dapat lihat ia mempunyai skrin yg kecil, tetapi peti yang sangat besar. Skrinnya pula menghadap ke atas dan dan untuk menonton skrin tersebut terpaksa dilihat melalui cermin.



E-mel 1Malaysia untuk 18 Juta Rakyat

Ini merupakan satu usaha kerajaan untuk meningkatkan bilangan rakyat Malaysia yang celik ICT. Juga menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia berkomunikasi dengan kerajaan menerusi Internet.



PUTRAJAYA, 19 April, 2011: Kerajaan akan menyediakan e-mel percuma di bawah konsep 1Malaysia (1MY).

PROGRAM e-mel 1MY membabitkan pemberian akaun e-mel peribadi menerusi web portal E-mel 1Malaysia kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mulai Julai ini bagi membolehkan mereka menerima kenyataan dan makluman daripada kerajaan iaitu sebagai langkah mewujudkan perhubungan langsung, selamat dan telus antara rakyat dengan kerajaan serta semua agensi awam.(Rujuk: BHarian)




Perkhidmatan itu bermakna hampir 18 juta daripada 27.5 juta penduduk Malaysia akan menjadi pemilik akaun peribadi e-mel 1MY.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inisiatif itu juga diharap meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pelanggan dan komuniti perniagaan.

"Ia sebahagian daripada penyediaan pusat sehenti untuk perkhidmatan kerajaan, perkhidmatan tambah nilai seperti rangkaian sosial, memeriksa bil secara online dan juga bayaran, serta pembangunan web bagi rakyat dan syarikat,'' kata beliau semasa mengumumkan projek pelaburan terkini di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. (Rujuk: Kosmo)



Perdana Menteri berkata, projek itu diproses oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang menilainya sebagai satu projek yang perlu dimasukkan dalam senarai projek baru Program Transformasi Ekonomi (ETP).(Rujuk: BHarian)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa projek e-mel 1Malaysia  merupakan inisiatif sukarela sektor swasta dan tidak membabitkan wang awam. (Rujuk: Kosmo)

p/s: Bagaimanakah cara perlaksanaan 'Projek E-mel 1Malaysia' ini? Kita tunggu perlancarannya pada bulan Julai 2011 kelak.

20 April 2011

ILUSI OPTIK - Siri 3

Mari kita bersantai sejenak...
Lihat, tenung, renung, telek, selidik, kaji, cari ..........
dan juling-julingkan mata untuk menemui apa yang tersembunyi disebalik gambar-gambar berikut......

Tupai

Squirrels
Ia bukan gambar tupai yang biasa...
Bolehkah anda melihat imej tersembunyi disebaliknya?


Belukar Misteri

Mysterious Forest
Berapa banyak harimau yang anda boleh lihat dalam rajah ini?


Bangunan Melebur

Melting Building
Ini bukan ilusi optik. bangunan ini memang wujud di 39 Avenue George V, Paris. Jadi tak perlu cari apa-apa. Cuma lihat saja.


Sumber:
http://games.yahoo.com/braingames.

JENIS-JENIS CINTA



Begitu banyak peluang yang ALLAH SWT berikan, yang Rasulullah SAW tunjukkan, untuk menjadi mulia dengan cinta. Bukan menjadi terhina dan terpuruk, kerananya. Semoga hadis-hadis cinta ini bisa mengantarkan kita untuk sedikit demi sedikit memahami cinta yang menyelamatkan. Cinta yang menerbangkan kita ke syurgaNya, insyaALLAH.

CINTA YANG MEMBERIKAN CAHAYA
Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba ALLAH itu ada satu golongan, mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada', tetapi para nabi dan syuhada' mencemburui mereka, tempat mereka di sisi ALLAH SWT. Kata para sahabat: "Khabarkan kepada kami siapa mereka?" Rasulullah SAW bersabda: "Mereka adalah satu kaum yang saling mencintai kerana ALLAH, bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan. Demi ALLAH, di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya. Ketika manusia takut, mereka tidak takut. Ketika manusia bersedih, mereka tidak bersedih. Dan mereka berkata, sesungguhnya wali-wali ALLAH tidak takut dan tidak sedih." - HR Abu Daud.

19 April 2011

Apa Khabar Cekodok!

Apa khabar blogger semua? Sedang buat apa tu?
Barangkali sekarang ni ada yang sedang makan cekodok...
Hahahaaa... malam-malam begini pon ada jugak yang sempat goreng cekodok...
Perut lapar la katakan... ya tak?



Ada kenal blogger bernama cekodok…

Lama aku tak baca entri baru Cekodok… Melalui link yang aku letak dlm blog ini, menunjukkan beliau lama dah x update blog..





  • Aku suka cara penyampaian cekokdok dalam entri-entrinya.. beliau menulis entrinya secara santai melalui cara penceritaannya yang lawak… Bila rasa nak bersantai aku akan pergi baca entri cekodok..

    Aku cuba klik link cekodok.. hasrat hati nak tulis dalam shout boxnya.. nak Tanya kenapa lama x tulis entri baru… Entri kali terakhir beliau bertajuk 'mamu yang x berapa mamu'.. dipublish pada jumaat 8 Apr, 2011…

    Apabila aku klik link tersebut maka keluar tetingkap mengatakan ayat seperti berikut..

    Blog has been removed

    Sorry, the blog at cekodokitusedap.blogspot.com has been removed. This address is not available for new blogs.

    Apa yang telah terjadi dengan blog cekodok??

    Kempen Makan Daging Unta Di Australia

    Pernahkah anda memakan dading unta??



    Di atas ini adalah satu contoh masakan menggunakan daging unta. Macamana? Terliur tak?

    Berikut adalah artikel tentang kempen memakan daging unta yang dilancarkan dgn objektif utamanya adalah mengurangkan populasi unta yang terlalu banyak...

    Sambil membaca tu... kita layan gambar-gambar unta dalam pelbagai aksi...



    SYDNEY: Daging unta boleh menjadi eksport terbaru Australia menjelang awal 2012 sekiranya seorang ahli perniagaan Mesir berjaya dengan cubaan membuka rumah penyembelihan dan kilang memproses daging di sebuah bandar di Australia Selatan.




    Magdy El Ashram bukan hanya akan membawa daging unta yang disifatkan beliau sihat berbanding daging lembu untuk mendapat perhatian pengguna seluruh dunia tetapi ia juga akan mengurangkan unta liar di Australia yang menjadi masalah ekologi serius dan menghasilkan 300 peluang kerja di sebuah tempat yang memerlukannya.



    “Daging unta adalah lebih baik berbanding daging lembu, ia kurang lemak berbanding daging lain. Jika anda meletakkan daging lembu, kambing, kangaru, atau sebarang daging lain daging unta adalah kurang lemak berbanding semua itu,” katanya.



    “Unta adalah makanan popular di Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah manakala Australia mempunyai sumber bagi menyediakan daging itu kepada mereka yang gemarkannya.”



    Ia mula diperkenalkan pada 1840 kepada India bagi kemudahan pengangkutan, pada masa ini lebih sejuta unta liar berkeliaran di sekitar kawasan tiga juta kilometer persegi di pedalaman Australia, membiak pada kadar dua kali ganda berbanding populasi mereka setiap sembilan tahun.



    Kerajaan Persekutuan Australia menyediakan A$19 juta (RM60.5 juta) sejak empat tahun lalu untuk membantu menguruskan unta liar dan satu program membunuh unta bermula tahun lalu. Haiwan terbabit menyebabkan kerugian lebih A$10 juta (RM32 juta) setahun terhadap ekosistem pedalaman. – Reuters

    Sumber: Bharian