31 Oktober 2012

Alicia Richman Penderma Susu Badan Terbanyak


Alicia Richman menjadi wanita pertama menderma 86 gelen susu badan kepada The Mothers' Milk Bank of North Texas.

Seorang wanita yang tinggal di North Texas diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai penderma susu badan terbanyak bagi membantu kanak-kanak malang.

Alicia Richman, 28 dari Granbury, menderma 86 gelen atau 325.3 liter susu badan di antara Jun 2011 dan Mac lalu kepada badan kebajikan The Mothers' Milk Bank of North Texas. Badan kebajikan tersebut membekalkan susu ibu kepada unit rawatan rapi neonatal.

Jumlah tersebut dianggap terlalu besar kerana seorang bayi yang baru lahir hanya minum susu kira-kira 88 mililiter sehari. Richman berkata, dia mengumpul susu badannya di mana-mana sahaja termasuk ketika bekerja dan bercuti.

30 Oktober 2012

Senad Hadzic Jalan Kaki 5,700km Untuk Tunai Haji


SENAD HADZIC

Seorang lelaki Islam warga Bosnia, Senad Hadzic, 47, menjadi tumpuan dunia Islam menjelangnya musim haji tahun 2012 ini kerana kejayaannya berjalan kaki secara solo dari rumahnya di Bovinic yang terletak di timur laut Bosnia menuju ke Tanah Suci Mekah.

Senad Hadzic mula berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun 2011 lalu dan dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.

"Saya tiba di Mekah pada Sabtu (20/10/2012) lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic.

Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,777 kilometer (km) selama 314 hari merentasi tujuh buah negara iaitu Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.

29 Oktober 2012

Kewajaran PBS ganti PMR


Kewajaran PBS ganti PMR

Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.

Ia mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011 dan dijadualkan menjelang tahun 2016, murid-murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.

Bagi peringkat sekolah menengah, sistem PBS baru digerakkan dan dijangka dalam tempoh dua tahun berikutnya, ia akan mula dilaksanakan bagi penambahbaikan pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

28 Oktober 2012

Ijazah Universiti Bukan Jaminan Dapat Kerja



Walaupun memegang ijazah dalam bidang Pengurusan Pengangkutan, Fazren, 29, bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sebuah agensi kerajaan sejak empat tahun lalu.

"Saya mohon banyak kerja dalam sektor awam dan swasta. Bila saya ditawarkan jawatan pembantu pentadbiran (di sebuah agensi kerajaan) saya tidak teragak-agak untuk terima walaupun ia untuk lulusan SPM. Nak dapat kerja sekarang memang agak sukar," cerita anak kelahiran Pahang itu.

Amran, 22, mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan kini bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital awam setelah menerima Diploma Kejururawatan dari kolej latihan kejururawatan awam tahun ini.

Bila ditanya kenapa beliau memilih kerjaya sebagai seorang jururawat walaupun menerima keputusan SPM yang agak cemerlang, Amran, anak kelahiran Perlis memberitahu:

"Ia disebabkan faktor ekonomi. Saya pilih tidak masuk universiti kerana saya percaya selepas jadi graduan, walaupun dengan mempunyai ijazah ia tidak menjanjikan pekerjaan. Dengan hanya diploma kejururawatan, saya boleh dapat kerja dengan mudah di hospital awam atau hospital swasta.

"Ada baiknya kalau mula bekerja semasa usia masih muda dibandingkan dengan bertahun-tahun lamanya menunggu pekerjaan," jelas beliau.

27 Oktober 2012

Baki Susu Boleh Menyumbang Kepada Gejala Klinikal



Semasa anda berada dalam usia kanak-kanak, pernahkah mempunyai tabiat makan atau minum sesuatu yang digemari, kemudian simpan dan menikmatinya kembali selepas beberapa jam?

Sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang lahir daripada keluarga berpendapatan sederhana, perlakuan ini selalunya berpunca ekoran 'rasa sayang' untuk menghabiskan makanan mahupun minuman berkenaan.

Mungkin boleh dikatakan dalam sebulan hanya sekali ataupun langsung tidak berkesempatan untuk menikmatinya lanjutan daripada pendapatan keluarga tidak seberapa, menyebabkan ada komuniti kecil ini bersikap sedemikian.

Pengamalan tabiat ini bukanlah sekadar rekaan, namun dapat dilihat dengan ketara tatkala pembekalan susu ke sekolah-sekolah rendah kawasan luar bandar yang dilaksanakan menerusi 'Program Susu 1Malaysia' (PS1M).

Menganggapnya sebagai minuman mahal, menyebabkan ada sesetengah murid mengamalkan tabiat berkenaan, tanpa menyedari bahawa perlakuan itu sebenarnya mendedahkan mereka kepada bahaya!

26 Oktober 2012

Ibadah Qurban Tanda Taat dan Taqwa



Pada setiap 10 Zulhijjah, umat Islam akan menyambut kedatangan hari kebesaran Islam Aidiladha atau hari raya korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya dan menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing untuk dikorbankan.

Penyembelihan korban dilakukan selepas selesai solat Aidiladha dan masih dapat dilakukan pada hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Ibadah korban dibahagikan kepada dua iaitu korban khusus membabitkan penyembelihan binatang tertentu pada Aidiladha dan tiga hari selepasnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, manakala korban umum ialah pengorbanan yang memberi manfaat serta kebaikan kepada orang lain.

25 Oktober 2012

Tindakan Undang-undang Terhadap Iklan Palsu dan Keliru



Bermula 1 Januari 2012 depan, semua iklan palsu atau mengelirukan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan denda antara RM50,000 hingga RM1 juta dan penjara antara tiga hingga lima tahun.

Antara perkara yang tidak dibenarkan dalam garis panduan yang akan diedarkan kepada pihak pengiklanan dalam masa terdekat ini adalah iklan-iklan yang mendakwa sesuatu ubat mampu menyembuhkan penyakit kronik dan tatacara penggunaan logo halal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana individu mengeluarkan iklan mengelirukan dan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan produk dan kebolehdapatan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun.

"Bagi pertubuhan pula, boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua," katanya selepas melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan.

24 Oktober 2012

PLUS Perkenal Bengkel Bergerak (WOW)

Syabas PLUS. 
Semoga idea WOW ini dapat dilaksanakan oleh konsensi lebuh raya yang lain demi manfaat pengguna-pengguna lebuh raya.


NOORIZAH menunjukkan peralatan yang disediakan oleh WOW ketika melancarkan perkhidmatan itu di kawasan R&R Seremban.

Konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mewujudkan perkhidmatan bengkel bergerak (‘Workshop on Wheels’ ~ WOW) bagi memberi perkhidmatan lebih efisien dalam membantu pengguna lebuh raya yang menghadapi kerosakan kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, inisiatif itu yang merupakan khidmat sokongan kepada perkhidmatan PLUSRonda sedia ada bertujuan mengelak pengguna lebuh raya daripada menjadi mangsa penipuan trak penunda haram dan bengkel tidak bertanggungjawab yang mengenakan caj melampau.

"Sebelum ini ada pengguna lebuh raya yang mendakwa bahawa mereka diperdaya oleh kumpulan terbabit dengan mengenakan caj bayaran yang tinggi serta melampau ketika mereka mengalami kesulitan di lebuh raya.

23 Oktober 2012

AFF Suzuki 2012: Misi Harimau Malaya Pertahan Juara



Pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal akhirnya mengumumkan senarai 35 pelatih bagi menggalas cabaran negara mempertahankan Piala AFF Suzuki yang bakal membuka tirainya November 2012 depan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan 28 pelatih yang bakal menjalani latihan pusat di Wisma FAM.

Seramai 28 pemain dipanggil untuk sesi latihan pusat dan pemilihan bagi persediaan menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa kelas 'A'  pada bulan November 2012.

Tujuh pemain pelatih 'KIV' diminta bersedia menjalani latihan dan pemilihan pasukan kebangsaan sekiranya dipanggil untuk menggantikan mana-mana 28 pemain itu yang mengalami kecederaan.

Kesan Penggunaan Antibiotik Tanpa Preskripsi Doktor



Ketika kebimbangan dunia meningkat akibat ancaman superbug atau bakteria kebal terhadap antibiotik, terdapat farmasi di negara ini yang menjual antibiotik sewenang-wenangnya kepada orang ramai tanpa preskripsi doktor.

Mereka menjual antibiotik yang dikawal tanpa menerangkan dos penggunaannya, sekali gus membuka ruang penyalahgunaan antibiotik.

Penggunaan antibiotik tidak betul terhadap penyakit yang bukan disebabkan jangkitan bakteria, terutama demam dan selesema, boleh menyebabkan bakteria berevolusi genetik dan menjadi kebal terhadap antibiotik serta sukar dimatikan.

Sumber: BHarian

22 Oktober 2012

Pendidikan Berkualiti Untuk Pelajar OKU


Kanak-Kanak OKU Tidak Terpinggir Daripada Ilmu Pendidikan Berkualiti

Seiring dengan perubahan dan kemajuan yang dikecapi negara, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus mendapat perhatian khususnya daripada kerajaan bagi membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

Memastikan golongan ini tidak dipinggirkan, Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Sep 2012 lepas membawa sinar baru kepada golongan kanak-kanak OKU bagi mendapat pendidikan sewajarnya tanpa dinafikan hak mereka.

Melalui belanjawan mesra rakyat yang memenuhi kehendak semua golongan, kerajaan antara lain mencadangkan projek perintis untuk melaksanakan Taska OKU bagi membela nasib golongan itu di peringkat lebih awal.

21 Oktober 2012

Suami Tak Perlu Minta Izin Untuk Poligami



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa undang-undang syariah di Malaysia memberi hak kepada suami berpoligami tanpa perlu meminta kebenaran isteri.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata sebaliknya keputusan sama ada lelaki berkenaan dibenarkan berpoligami atau tidak bergantung kepada budi bicara Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, beliau berkata kebiasaannya Mahkamah Syariah akan memanggil isteri pertama untuk memaklumkan bahawa suami bakal berkahwin satu lagi.

“Mengikut sistem perundangan Islam suami memang tidak perlu meminta kebenaran isteri untuk berkahwin lebih daripada satu atau berpoligami.

Stand By Me ~ Playing for Change


Hebat!

Pemuzik daripada serata dunia bermain muzik secara berasingan di tempat mereka masing-masing tanpa perlu bersua muka atau berkumpul di suatu tempat tertentu.

Bagaimanapun, dengan teknologi terkini, audio yang dirakam kemudiannya diadun dengan baik untuk menghasilkan sebuah lagu yang juga merupakan satu hasil kerja seni yang indah dan unik untuk dinikmati.

Song: Stand By Me
Original Artist: John Lennon

When the night has come
And the land is dark
And the moon is the only light we'll see
No I won't be afraid, no I won't be afraid
Just as long as you stand, stand by me

Kelantan Juara Piala Malaysia 2012


Tahniah Kepada Pasukan Kelantan FA

KELANTAN melabuhkan tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan penuh bergaya apabila mengungguli gelaran trebel pada musim 2012 ini.

Kelantan mencatat sejarah dengan muncul pemenang tiga gelaran musim 2012, setelah menewaskan Angkatan Tentera 3-2 dalam perlawanan akhir untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua, di Stadium Shah Alam, Selangor pada 20 Oktober 2012.

Perancang skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin muncul sebagai wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-96, sekali gus melengkapkan koleksi trofi Liga-M selepas menjuarai Liga Super serta Piala FA pada musim 2012 ini.

Kelantan yang juga Juara Piala Malaysia buat kali pertama pada 2010 itu melengkapkan koleksi tersebut dengan dua jaringan Norshahrul Idlan Talaha dan Indra Putra Mahayuddin manakala lawan mereka ATM FA merapatkan jurang menerusi Rezal Zambery Yahya dan Marlon Alex James.

Sumber: Utusan, Kosmo

20 Oktober 2012

Keputusan Piala Malaysia 2012



______________________________________________________________________________

Tahniah kepada Pasukan Kelantan kerana berjaya menjuarai Piala Malaysia 2012.
Gol kemenangan Kelantan diperoleh menerusi Indera Putra Mahyuddin pada minit ke-95.
Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir menjadi milik Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo (Kelantan) manakala Penjaring Terbanyak diraih Marlon Alex James (ATM FA).

Jadual Perlawanan Akhir Piala Malaysia dan Keputusan:



Tarikh Perlawanan: 20 Oktober 2012 (Sabtu)
Perlawanan: Kelantan Vs ATM FA  (3 - 2)
Venue: Stadium Shah Alam
Tempoh Perlawanan; 120 minit
Jaringan Kelantan: Norshahrul Idlan Talaha (2 Jaringan) dan Indra Putra Mahayuddin
Jaringan ATM FA: Rezal Zambery Yahya dan Marlon Alex James

PTV Mengarus Perdana Pendidikan Vokasional


Pelajar Kolej Vokasional Beufort Sabah tekun mengikuti pembelajaran kemahiran automotif. kolej itu antara 15 buah sekolah vokasional yang dinaik taraf sebagai kolej melalui program PTV.

Perlaksanaan Pelan Transformasi Vokasional (PTV) yang mula berkuatkuasa tahun 2012 ini bukan sekadar menyediakan satu kemudahan alternatif dalam sistem pendidikan negara malah membolehkan pelajar memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun.

Timbalan Pengarah Pengoperasian Sekolah Kementerian Pelajaran, Zainuren Mohd. Nor berkata, anjakan baru yang dibuat terhadap pendidikan teknikal dan vokasional itu bagi mengubah persepsi masyarakat yang melihat pelajar vokasional tergolong dalam kalangan yang lemah atau dikategorikan sebagai kelas kedua.

"Transformasi besar-besaran ini diharap dapat mengubah stigma masyarakat yang menganggap pendidikan vokasional hanya untuk pelajar kelas kedua dan tanggapan tersebut tidak berasas sama sekali,"katanya pada sidang akhbar taklimat media program PTV di Kolej Vokasional Beaufort, Sabah.

19 Oktober 2012

Kelebihan Zulhijjah


Jemaah haji berjalan ke Padang Arafah untuk berwukuf.
Umat Islam wajar rebut hikmah, ganjaran mengerjakan haji

Mungkin tidak ramai daripada kalangan kita yang menyedari kelebihan bulan Zulhijjah, terutama 10 hari yang pertama. Oleh itu, ada baiknya dibincangkan di sini kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah.

Perkara pertama yang mesti kita sedari, bulan Zulhijjah adalah salah satu dari bulan-bulan haram. Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan dalam ketetapan Allah apabila menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu. (al-Taubah: 36)

18 Oktober 2012

Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)


Kamera AES (Automated Enforcment System)

Pelaksanaan Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcment System - AES) merupakan tindakan tegas kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Kamera AES dipasang di 'kawasan hitam' atau lokasi dikenal pasti sebagai lokasi maut yang mencatatkan jumlah kematian tinggi.

Orang ramai boleh menyemak lokasi kamera AES menerusi laman sesawang JPJ di www.jpj.gov.my, atau portal.jpj.gov.my atau Lokasi AES (Had Laju) dan Lokasi AES (Lampu Isyarat) serta pengguna boleh mengetahui mengenai zon operasi kamera AES melalui papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.

"Dengan mengetahui lokasi kamera AES, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan mereka memandu mengikut undang-undang. Ini dapat mengurangkan jumlah kematian dan objektif kami adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tercapai dan bukannya untuk memberikan kuasa lebih besar kepada JPJ mengeluarkan saman," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan

17 Oktober 2012

Anak Istimewa Ialah Satu 'Anugerah'



Menurut pakar dan kaunselor kanak-kanak, ibu bapa beranggapan mereka mempunyai masa hadapan yang sukar, penuh dengan ranjau dan kemurungan bila mendapat tahu anak mereka yang baru dilahirkan disah sebagai 'istimewa' atau 'kurang upaya'.

Pakar dan kaunselor kanak-kanak ini menyatakan bahawa ibu bapa pasti akan 'hilang punca', tidak tahu apa perlu dibuat selain mengalami tekanan bila mengetahui anak mereka mempunyai masalah berkenaan.

Tetapi kajian yang dijalankan ke atas ibu bapa yang mempunyai anak istimewa mendapati walaupun episod awalnya adalah agak sukar, ibu bapa ini boleh bahagia seperti keluarga lain yang mempunyai anak normal.

"Perkara pertama yang perlu dibuat ialah padamkan perasaan negatif dalam diri. Selepas beredarnya kemurungan pada peringkat awal, perjalanan (kehidupan) yang akan dilalui akan menjadi lebih jelas dan mudah," kata pakar fisioterapi Ida Yasmine Ahmad.

16 Oktober 2012

Baumgartner Terjun Bebas Mengatasi Kelajuan Bunyi


Felix Baumgartner (kiri) atau Fearless Felix berjaya cipta rekod dunia

Atlet ekstrem Austria, Felix Baumgartner berjaya memecah rekod dunia payung terjun selepas melakukan terjunan dramatik dari stratosfera pada ketinggian 38.6 kilometer dari paras bumi di sini, pada 15 September, 2012.

Dia terjun dari kapsul tersebut yang berada setinggi 39 kilometer (km) dari Bumi. Kapsul tersebut bergerak ke udara dengan menggunakan belon helium. Ia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba pada ketinggian 39km dari Bumi.

Baumgartner berjaya memecah rekod dunia payung terjun yang melakukan terjunan bebas mengatasi kelajuan bunyi. Beliau yang turut dikenali sebagai Fearless Felix mendarat di sebuah kawasan di sebuah gurun di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat (AS) kira-kira sembilan minit selepas melakukan lompatan dari kapsulnya.

Tangani Panik Dan Ketakutan Ketika Bahaya


Penjenayah sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan mereka kerana itu setiap orang harus sentiasa berwaspada. - Gambar hiasan

Panik dan ketakutan pasti dirasai oleh sesiapa sahaja semasa berdepan dengan perompak tetapi apakah yang wajar dilakukan pada saat-saat genting itu?

Pengalaman seorang pemuda ketika berhadapan dengan sekumpulan penjenayah baru-baru ini mungkin boleh dijadikan iktibar.

Beliau yang memandu sendirian di sebuah lebuh raya di Lembah Klang pada tengah malam dengan tiba-tiba dipintas dan dihalang laluannya oleh sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki.

Beliau bertambah panik apabila melihat kelima-lima lelaki itu menyerbu ke arahnya dengan seorang daripada mereka mengacukan sebilah pisau.

Tidak ada apa yang mampu dilakukannya selain akur dengan penjenayah itu dan merayu agar tidak dicederakan. Tidak sampai lima minit, selepas mendapat wang dan beberapa barang lain daripada keretanya, penjenayah itu terus berlalu.

15 Oktober 2012

Orang Kelainan Upaya (OKU)


Anak-anak kurang upaya mempunyai keistimewaan jika diasah bakat mereka. - Gambar Hiasan

Orang Kelainan Upaya atau Orang Kurang Upaya?

BEBERAPA tahun lalu, bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak memperkenalkan penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menolak penggunaan Orang Kurang Upaya satu terminologi yang telah lama digunakan untuk merujuk kepada mereka yang dianggap 'istimewa'.

Alasannya, mereka ini harus dilihat dalam cara yang betul kerana yang berbeza bukanlah dari segi fizikal tetapi keupayaannya disebabkan oleh sesuatu sebab semulajadi atau kejadian yang diingini. Mereka wajar dinilai kebolehannya berasaskan kelainan keupayaannya berbeza dengan mereka yang dianggap sempurna.

Misalnya USM mengiktiraf seorang siswi cerebral palsy, Tan Chin Chin sebagai penerima Pingat Emas Canselor dalam upacara konvokesyen sebagai graduan serba boleh yang tentunya tidak boleh dibandingkan dengan mereka yang sempurna sepenuhnya dari segi fizikal.

14 Oktober 2012

Web Jualan Internet Mesti Ada Logo PUIM


Elak penipuan Internet dengan logo PUIM

Pengguna yang ingin membeli-belah secara dalam talian dinasihatkan supaya melakukan pembelian melalui laman web yang mempunyai logo Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) bagi mengelak sebarang penipuan atau kerugian.

Presiden PUIM, Mohd. Azrul Mohd. Nor berkata, nombor siri dan logo PUIM merupakan bukti bahawa status seseorang usahawan Internet telah disahkan oleh pihak persatuan di mana hak pengguna dapat dilindungi.

"Buat masa ini sejumlah 130 syarikat atau perusahaan yang melakukan jualan di internet telah mendapat logo PUIM.

"Sekiranya pelanggan berdepan dengan penipuan atau sebarang masalah perkhidmatan, mereka boleh menyemak melalui PUIM dan kita akan dapat menghubungi usahawan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan Usahawan Internet, di sini hari ini. - BERNAMA

Sumber: Kosmo [14/10/2012]

Aksi Bahaya Terjunan BASE


Aksi berbahaya tetapi menyeronokkan

TERJUNAN BASE merupakan sukan ekstrem yang berbahaya, mudah mendatangkan kecederaan atau membunuh para pesertanya.

BAGI kebanyakan kita, aktiviti terjunan base adalah sangat ekstrem. Ini kerana terjunan BASE dilakukan pada ketinggian yang sangat rendah berbanding terjunan biasa yang dilakukan dari kapal terbang.

‘Mereka yang berminat dinasihatkan untuk berfikir banyak kali sebelum menceburi sukan ekstrem ini. Kami tidak mencadangkan sukan ini kepada sesiapa pun. Anda bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri.’

13 Oktober 2012

'Walk Off The Earth' Bermain Dengan Sebuah Gitar


Somebody That I Used to Know - Walk off the Earth (Gotye - Cover)

Walk Off The Earth terdiri daripada (kiri ke kanan):
Joel Cassady, Sarah Blackwood, Gianni Luminati, Ryan Marshall dan Mike Taylor

Walk Off The Earth merupakan sebuah kumpulan muzik yang unik. Mereka memperlihatkan kemahiran mereka membuat persembahan di mana kesemua ahli bergabung bermain muzik menggunakan sebuah gitar.

Walk Off The Earth adalah band indie Kanada yang ditubuhkan pada tahun 2006 di Burlington, Ontario, dan telah mendapat kejayaan di seluruh dunia dengan membuat video muzik bajet rendah (low-budget music videos) untuk lagu-lagu 'Cover Version' dan lagu original mereka.

Band yang terkenal di YouTube mempersembahkan lagu-lagu 'cover' yang popular. Mereka juga berkebolehan bermain dengan pelbagai alat muzik yang lain dalam persembahan mereka seperti gitar kecil (ukulele) dan Theremin. [wikipedia]

Kepentingan Bersenam Kepada Kesihatan



75 peratus rakyat Malaysia tidak bersenam!
Demikian kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin tidaklah memeranjatkan: Rakyat Malaysia ternyata malas bersenam atau beriadah. Hanya 25 peratus rakyat negara ini yang terbabit dalam aktiviti senaman.

Rosnah juga menyebutkan bahawa rakyat kita terdedah kepada pelbagai penyakit yang membunuh secara senyap - daripada diabetes hinggalah hipertensi. Kadar penyakit yang membabitkan jantung juga meningkat, demikian juga masalah obesiti. Menurut laporan terbaru, 6.2 juta penduduk dewasa kita mempunyai kolesterol tinggi, 5.8 juta menghidap hipertensi dan 2.6 juta menghidap diabetes.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), Kementarian Kesihatan bagi tahun 2011 menunjukkan bahawa kadar penyakit diabetes meningkat kepada 15.2 peratus daripada 11.6 peratus pada tahun 2006, sementara hipertensi dalam kalangan orang dewasa yang berumur melebihi 30 tahun meningkat daripada 32.2 peratus kepada 32.7 peratus.

Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC)



PIPC Bakal Ubah Landskap Ekonomi Malaysia Dan Johor

Kejayaan pelaksanaan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) amat penting kerana ia bakal mengubah secara keseluruhan landskap ekonomi Malaysia dan negeri Johor, demikian menurut Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC).

Ketua Eksekutifnya Mohd Yazid Jaafar berkata kajian oleh makmal minyak dan gas Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) menunjukkan PIPC akan menyumbang RM17.7 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2020.

Kajian oleh Pemandu itu juga menunjukkan PIPC akan mewujudkan 8,500 pekerjaan mahir dan berpendapatan tinggi pada 2020.

12 Oktober 2012

Gerakan Dalam Solat


Makna gerakan-gerakan dalam solat telah dibincangkan para ulama sejak dahulu. - Gambar hiasan

SEGALA puji bagi Allah, selawat dan salam bagi Rasulullah S.A.W, ahli keluarga, sahabat dan tabiin.

Solat adalah satu bentuk komunikasi dua hala antara hamba dengan Tuhannya. Dalam solat, seorang hamba menghadap Allah lalu berbicara kepada-Nya. Pada saat yang sama, Allah S.W.T memperhatikan gerak-gerik hamba itu, mendengarkan kata-katanya dan menjawab permohonannya.

Allah berfirman: "(Allah) melihat kamu ketika kamu berdiri (dalam solat) dan perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud." (al-Syuaara: 219)

Daripada Anas bin Malik, bersabda Nabi S.A.W: "Sesungguhnya seorang Mukmin, apabila ia berada di dalam solat, ia tengah berbincang (munajat) dengan Tuhannya. Maka, janganlah ia meludah ke hadapan atau ke sebelah kanannya, akan tetapi ke kiri atau ke bawah kakinya." (riwayat Al-Bukhari).

11 Oktober 2012

SBA Semak Kelayakan Ke SBP Mulai 2014



Mulai 2014, pengambilan pelajar Tingkatan Empat ke sekolah berasrama penuh (SBP) akan ditentukan melalui sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sistem itu mengambil kira pencapaian cemerlang pelajar sepanjang sesi persekolahan, termasuk aktiviti kokurikulum dan latar belakang keluarga.

Ia berikutan pemansuhan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang kali terakhir akan diadakan membabitkan pelajar Tingkatan Tiga tahun 2013 depan.

Kepentingan TASKA Di Tempat Kerja



BUKAN satu perkara luar biasa di negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di rumah.

Bukan juga satu saranan yang baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar ibu menyertai pasaran kerja.

Keciciran kaum wanita berpendidikan tinggi ini daripada pasaran pekerjaan sememangnya amat dirasai.

Kerajaan telah berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti ialah wanita, tapi hanya 48 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini sudah tentunya memberikan kerugian besar kepada negara.

10 Oktober 2012

Ibu Bapa Perlu Kemahiran Keibubapaan

Artikel berikut ini mungkin sangat dinanti-nantikan oleh sesetengah ibu-bapa.
Perkara yang baik eloklah dikongsi bersama dan disebar-sebarkan ke pengetahuan masyarakat umum.



"Anak saya degil".
"Anak saya lebih suka lepak dengan kawan-kawan."
"Anak saya hanya sibuk dengan facebook dan internet".
"Anak saya kalau saya marah sikit, mulalah tarik muka, hempas pintu dan berkurung dalam bilik."

Luahan rasa ini mungkin dikongsi kebanyakan ibu bapa masa kini terhadap anak mereka khususnya yang berusia remaja.

Ibu bapa yang berdepan dengan situasi ini mungkin marah, sakit hati atau berasa putus asa kerana memikirkan mereka telah gagal memainkan peranan sebagai ibu bapa.

Ada juga ibu yang mungkin berasa begitu sedih kerana anak yang dikandung dan dilahir dengan susah payah, dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang tetapi akhirnya tidak mendengar kata.

IJN Agensi Paling Cemerlang 2011



Institut Jantung Negara Malaysia (IJN) atau National Heart Institute of Malaysia, adalah pusat jantung terulung di Malaysia. Ditubuhkan pada bulan September 1992, IJN menyediakan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik (cardiothoracic) bagi kes orang dewasa dan kanak-kanak.

IJN juga bertindak sebagai pusat rujukan kebangsaan bagi penyakit kardiovaskular. IJN menyelesaikan kes baru yang dirujuk dari seluruh negara dan luar negara serta kes susulan dari klinik pesakit luar.

IJN merupakan satu-satunya pusat yang pakar dalam rawatan dan pengurusan penyakit jantung. IJN menawarkan pelbagai perkhidmatan yang komprehensif untuk perubatan kardiovaskular berkaitan semua jenis intervensi; pembedahan diagnostik dan therapeutik; dan pembedahan jantung untuk jantung terbuka, jantung tertutup, toraks dan pemindahan jantung.

09 Oktober 2012

Bilangan Remaja Sakit Mental Meningkat



Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini berada pada tahap membimbangkan malah bilangannya semakin menunjukkan peningkatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati kelaziman masalah kesihatan mental golongan tersebut telah meningkat daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus pada tahun 2011.

Katanya, pengaruh internet dan teknologi komunikasi di samping faktor kesibukan ibu bapa dijangka terus membawa kepada peningkatan peratusan tersebut kelak.

08 Oktober 2012

Bahaya Gula Berlebihan



BUKAN senang untuk menerima hakikat jika ibu atau bapa anda didiagnos menghidapi diabetes. Perkara pertama yang pasti diminta oleh doktor ialah menjauhi gula. Ia tidak mudah dilakukan kerana mereka telah biasa dengan gula sepanjang hayat.

Lagipun, rasa gula mencetuskan sejenis hormon dalam otak yang membuatkan kita berasa senang. Inilah yang menyebabkan mengapa ramai orang mendapati sangat susah hendak meninggalkan gula.

Bagi penghidap diabetes, gula akan meningkatkan paras gula darah yang seterusnya akan meningkatkan risiko komplikasi yang melibatkan saraf, mata, buah pinggang dan jantung.

07 Oktober 2012

Hari Ungu Anak Autisme



KESUKARAN berinteraksi dan berkomunikasi serta perlakuan yang terhad dan berulang bagaikan berada di dunia mereka sendiri membuatkan kanak-kanak autisme tidak dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.

Simptom autisme selalunya dapat dikesan seawal usia tiga tahun apabila ibu bapa dapat merasai kelainan pada anak mereka yang sukar memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara.

Tidak suka bersosial, bercakap dalam nada yang pelik, tidak boleh duduk diam dan tidak mahu bertentang mata merupakan antara simptom masalah ini.

Dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak Malaysia menghadapinya dan statistik menunjukkan kira-kira 47,000 penduduk negara ini mengalami masalah autisme.

06 Oktober 2012

Sindiket Wang Pinjaman Tak Wujud



Seramai 776 individu mengalami kerugian berjumlah RM15 juta apabila menjadi mangsa penipuan sindiket peminjam wang yang tidak wujud sejak tahun lalu hingga sekarang.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Lim Char Boo berkata, mangsa terdiri dari kalangan yang ingin memulakan perniagaan, peniaga kecil-kecilan serta individu yang mahu mendapat pinjaman wang tunai segera tanpa kerenah birokrasi bank.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah mengiklankan perkhidmatan mereka melalui kad perniagaan yang ditampal di lokasi tumpuan ramai, mengedar risalah atau menghebahkannya melalui sistem pesanan ringkas yang dihantar secara rawak.

05 Oktober 2012

Penjelasan Tentang Zihar



Zihar adalah lafaz suami yang menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan anggota wanita yang mahram muabbad kepada suami.

Lafaz zihar terbahagi kepada dua:

a. Lafaz sarih (jelas): 
Lafaz yang menunjukkan kepada maksud zihar sahaja dan tidak boleh diandaikan kepada maksud yang lain.lafaz sarih ini tidak memerlukan kepada niat selagi mana seorang suami itu waras dan memahami apa yang dikatakannya.

Contoh : suami berkata kepada isterinya : “Engkau haram ke atasku seperti haramnya belakang ibuku”.

b. Lafaz kinayah (kiasan): 
Lafaz yang boleh diandaikan sebagai zihar dan boleh juga diandaikan sebagai bukan zihar. Sekiranya diniatkan zihar maka lafaz tersebut menjadi zihar dan sebaliknya jika diniatkan sebagai bukan zihar.

Contoh : Suami berkata kepada isterinya, “Engkau seperti ibuku dan adik perempuanku”.

04 Oktober 2012

Doa Selamat



Maksudnya:

Ya Allah, kami mohon kepada-Mu akan keselamatan dalam agama, kesihatan dalam badan, bertambah dalam ilmu, keberkatan dalam rezeki, taubat sebelum mati, rahmat ketika mati, dan ampunan sesudah mati.

Ya Allah, ringankanlah kami ketika sakratul maut, dan selamatkanlah kami dari seksa api neraka, dan mendapat ampunan di hari perhitungan amal.

Ya Allah Tuhan kami, janganlah Engkau sesatkan kami sesudah mendapat petunjuk, berilah kami rahmat dari sisi-Mu. Karena sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemurah.

Ya Allah Tuhan kami, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat, dan peliharalah kami dari siksa neraka.

Kredit: http://wirajiwa.bumicyber.com



Buku Masih Diterima Masyarakat Di Era Gajet

Di manakah anda mencari sumber bahan bacaan anda? Di internet atau di dalam buku?
Jika anda mencarinya di dalam buku, di kedai buku manakah biasanya anda mendapatkan buku-buku tersebut?


Walaupun era gajet, buku dapat ruang dalam bajet

PARA pelajar universiti dan pra-universiti akan memperoleh baucar buku RM250 dalam bajet 2013, iaitu kenaikan RM50 lagi berbanding RM200 dalam Bajet 2012.

Bukan saja para pelajar menyambut gembira mendapat bantuan ini, tetapi juga ibu bapa dan sudah tentu industri buku; dari kedai buku hinggalah kepada penerbit, pengedar, pencetak dan penulis sendiri.

Adalah suatu yang inovatif di pihak kerajaan untuk memperkenalkan baucar buku itu. Dengan memperkenalkan baucar sedemikian, kerajaan telah menampilkan sikap mesra buku. Pelajar yang tidak pernah membeli buku pun, apabila memperoleh baucar itu mereka perlu membelanjakannya.

03 Oktober 2012

Larangan Bawa Telefon Bimbit Ke Sekolah Kekal



Kementerian Pelajaran masih mengekalkan peraturan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh murid dan pelajar di seluruh sekolah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peraturan larangan itu dinyatakan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009.

Galak Anak Berpeluh Dengan Bersukan



Dunia kanak-kanak adalah dunia yang sepatutnya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bermain. Usah disekat-sekat kerana fitrahnya kanak-kanak itu akan bermain, berlari, melompat dan pelbagai lagi aktiviti lasak yang ingin mereka terokai.

Sayangnya, tidak semua kanak-kanak berpeluang melakukan aktiviti luar. Hari ini, lebih ramai yang gemar bermain di hadapan komputer, PSP atau paling kurang pun permainan XBOX yang memberi peluang mereka bergerak dan sekurang-kurangnya bersenam dalam rumah.

Persoalan yang timbul, adakah kesibukan ibu bapa hari ini menyekat keperluan anak untuk bermain dan bersosial bersama rakan sebaya?

02 Oktober 2012

Peraturan Derma Organ



Tee Hui Yee telah pergi buat selama-lamanya’ pada Selasa 18 September 2012. Beliau yang baru mencecah usia 19 tahun mencatat sejarah apabila kisahnya yang menjalani pembedahan pemindahan jantung menarik perhatian ramai selepas mendapat liputan terawal dalam akhbar Utusan Malaysia pada Oktober 2007.

Khalayak berkongsi kesulitan yang dihadapinya terpaksa bergantung hidup dengan jantung mekanikal selama setahun berikutan ketiadaan penderma. Ramai juga merasai ketabahannya menunggu insan mulia yang sanggup menderma jantung kepadanya.

Mendiang meninggal dunia pada hari sama beliau sepatutnya memulakan tugas murni sebagai guru tadika di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.

01 Oktober 2012

Mudarat Air Ketum



Pokok Ketum, juga dikenali sebagai Pokok Biak (bahasa Inggeris: Kratom), ialah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand. Di Thailand, pokok ini dipanggil Kakuam, Ithang atau Thom, di Amerika Syarikat pula sebagai Kratom. Nama botaninya Mitragyna speciosa korth.

Daun Ketum telah lama menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru lepas bersalin. Daun ini direbus dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, juga bagi rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan bagi merawat sakit belakang. Bagaimanapun air rebusan daun Ketum telah disalahgunakan dan mula dijual secara meluas kepada pengguna biasa.

Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003. [MS.Wikipedia]